Aktivis hak asasi manusia Datin Paduka Marina Mahathir menyindir akhbar milik Umno Utusan Malaysia, mengatakan ia mempunyai kebebasan bersuara mutlak tidak seperti suratkhabar lain yang tidak memiliki keistimewaan sebegitu.
"Utusan ada kebebasan mengkucar-kacirkan keadaan," kata anak sulung Tun Dr Mahathir Mohamad itu hari ini semasa Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia yang diadakan selama tiga hari di Kuala Lumpur.
Beliau menyampaikan ucapan bertajuk: "Freedom from fear – Is it a basic human right?" (Kebebasan dari rasa takut – Adakah ia hak asasi manusia?) merujuk akhbar Utusan yang menerima beberapa tindakan saman terhadap laporannya.
Marina ketika itu sedang menjawab soalan moderator, iaitu bekas pengerusi Majlis Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, yang bertanya sama ada Akta Hasutan 1948 perlu dimansuhkan.
Ramai, termasuk pemimpin pembangkang, mengutarakan soalan mengapa akhbar itu tidak didakwa kerana menerbitkan artikel yang mengapi-apikan sentimen kaum dan agama.
Marina berkata, menjadi satu kesalahan bagi Putrajaya menggunakan undang-undang itu sebagai helah untuk menghalang kekecohan daripada tercetus.
"Adakah ini satu serangan yang mereka jangkakan terlebih dahulu? Adakah ia berjaya?" soalnya.
Katanya, beliau mempunyai keyakinan penuh yang orang ramai tidak akan cepat melenting sekiranya dicucuk.
"Ada orang hendak bakar gereja, tetapi rakyat Malaysia tidak terpengaruh," katanya, sambil menambah kejadian itu boleh dibuat untuk mencetuskan ketakutan di kalangan rakyat.
Katanya Putrajaya yang sebenarnya berada dalam ketakutan, bukan rakyat, sebab itulah ia menggunakan akta itu untuk menyekat kebebasan berucap dan bersuara.
"Orang muda kita tidak takut, undang-undang tidak akan menghalang mereka."
Marina juga berkata kumpulan pejuang hak Melayu, Perkasa, menikmati layanan istimewa dan mendapat ruang bagi didengari media berbanding kumpulan lain. –TMI
No comments:
Post a Comment