SHAH ALAM - Pucuk pimpinan Pas perlu duduk berbincang bagi menyelesaikan perselisihan yang berlaku dalam parti itu sebelum keadaan menjadi lebih parah.
Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Fuad Mad Jali berkata, isu Menteri Besar Selangor sepatutnya tidak mengheret Pas untuk turut sama bergolak seperti PKR.
“Pas sepatutnya lebih terbuka dalam isu ini dan akur dengan keputusan yang dibuat oleh presiden,” katanya.
Menurutnya, keadaan ketika ini agak merisaukan apabila sudah ada tanda-tanda perpecahan apabila dua kumpulan berbeza dalam Pas semakin lantang bersuara.
“Perselisihan antara kumpulan ulama dan profesional nampak jelas, jika tidak dikawal dikhuatiri akan memberi impak kepada keseluruhan parti dan akhirnya menggugat sokongan rakyat,” katanya.
Seorang lagi penganalisis politik, Dr Sivamurugan Pandian berkata, politik berpuak wujud dalam semua parti, namun apa yang merisaukan apabila masalah itu tidak dikawal dengan baik.
Beliau berkata, Muktamar Tahunan Pas ke-60 yang akan berlangsung bulan ini adalah jalan terbaik untuk memulihkan keadaan dalam parti.
“Pasti akan ada timbul banyak persoalan daripada perwakilan, namun itulah jalan terbaik untuk beliau jelaskan kenapa keputusan (berkaitan isu Menteri Besar Selangor) diambil.
“Selain itu, inilah masalah untuk ulama dan profesional berwacana bersama bagi mencari jalan penyelesaian di atas kemelut yang berlaku,” katanya.
No comments:
Post a Comment