12 September 2014

PRK Pengkalan Kubor : Masalah dalaman ganggu tumpuan jentera BN...

Belumpun masuk ke jam rasmi berkempen di pilihanraya kecil Pengkalan Kubor, tapi cakap-cakap di sini sudah kedengaran mengenai masalah dalaman dalam struktur UMNO bahagian.
Sudah berbunyi ada yang tidak setuju dengan calon pilihan BN Haji Mat Razi Mat Ail.
"Ada masalah dikalangan Pemuda...," kata sumber yang layak dipercayai kepada Agendadaily.
Ini mungkin ada kaitan dengan Ketua Pemuda Tumpat, Rosidi Mahmud Kamarudin tidak dipilih sebagai calon.
Beliau sebelum ini mendapat 'restu' daripada Pemuda UMNO Pusat untuk diketengahkan sebagai calon BN Pengkalan Kubor.
Naib Ketua Pemuda UMNO Khairul Azwan Harun sebelum ini memberitahu, nama Rosidi diketengahkan mengambil kira pengundi dikawasan ini separuhnya mereka berusia di bawah 40 tahun.
Menurut Khairul Azwan, Rosidi sudah dua penggal menjadi Ketua Pemuda Tumpat itu merupakan anak tempatan di samping mempunyai rekod perkhidmatan yang baik.
Berdasarkan maklumat yang diperolehi, kira-kira 43 peratus pengundi di kawasan DUN Pengkalan Kubor merupakan mereka yang berumur di bawah 40 tahun.
Bagaimanapun, pucuk pimpinan sudah membuat keputusan muktamad menamakan Haji Mat Razi sebagai calon BN... "calon di luar kotak" kata satu badan kajian pilihanraya UMcedel.
Mahu tidak mahu, BN wajib mengakui, perpaduan di kalangan jentera parti adalah prasyarat utama untuk menang dalam mana-mana pilihanraya dan tidak terkecuali di Pengkalan Kubor, perkara itu menjadi persoalan utama.
Ketika cakap-cakap kedengaran mengenai protes Pemuda, ramai pemerhati politik memberikan tumpuan khas kepada Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Abdul Aziz.
Datuk Rosdi adalah 'kunci' sebenar kekuatan jentera tempatan di Pengkalan Kubor.
Bagi yang hadir di majlis pengumuman calon BN pada Rabu lalu masih teringat ucapan penuh semangat Datuk rosdi.
“Siapa pun yang dipilih sebagai calon BN adalah calon kami, kerana kami yakin pilihan BN, pilihan terbaik dan tepat,” katanya.
Sebab itu, menarik untuk melihat sejauh mana beliau mampu menunaikan janji tersebut.
Sehingga Jumaat, rata-rata jentera dan penganalisis politik memuji tindakan mulia dan terhormat Datuk Rosdi yang cool dan memberikan sokongan penuh pada Haji Mat razi.
Bekas calon BN DUN Wakaf Bharu itu walaupun kalah pada PRU13 lalu, kedudukan dan pengaruhnya dalam UMNO Bahagian masih kuat.
“Jika beliau ‘tumbang’, maka BN akan berdepan cabaran lebih besar,” kata seorang wartawan tempatan yang merupakan anak jati Tumpat.
Timbalan Pengerusi BN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, sudah pasti tidak mahu budaya ‘cah keting’ (sabotaj) berlaku sepanjang kempen PRK Pengkalan Kubor berlangsung.
Ketika mengumumkan Mat Razi Mat Ail sebagai calon BN untuk mempertahankan ‘pengkalan’ mereka, Muhyiddin beberapa kali dalam ucapannya menekankan kepentingan semangat perpaduan yang kukuh dalam jiwa setiap pemimpin dan ahli UMNO.
Pemilihan Haji Mat Razi macam kata Pengerusi BN Kelantan, Datuk Seri Mustapa Mohamad, bukan 'tangkap muat', sebaliknya sudah ada congak yang dibuat untuk menawan hari lebih 24 ribu pengundi Pengkalan Kubor.
Selepas PAS mengumumkan calon mereka, Wan Rosdi Wan Ibrahim semalam, di atas kertas, Haji Mat Razi menang semua.
Dari segi umur, Haji Mat Razi 49, Wan Rosdi, 57, pendidikan, Haji Mat Razi lulusan Sarjana Muda UKM, Wan Rosdi lulusan IKM Sungai Petani.
Sehingga ada yang berpendapat, BN sudah dapat 'kelebihan awal' dan penamakan Haji Mat Razi adalah pencaturan strategi, melihat kepada latar belakang Mat Razi yang berpengalaman dalam bidang pendidikan dan berperwatakan ‘ustaz’ berbanding Wan Rosdi seorang ahli perniagaan.
Bagaimanapun, jik BN leka dan menghabiskan banyak masa untuk menyelesaikan masalah dalaman, dibimbangi, kelebihan yang ada akan menjadi defisit, dan menjejaskan tumpuan jentera untuk menang dengan majoriti lebih 2000 undi.-12/9/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive