25 October 2014

AWAS WANITA Hati-Hati : Dipukau, rugi lebih RM90,000


SHAH ALAM - Seorang wanita mendakwa dipukau seorang lelaki berwajah Arab, di sebuah kompleks beli belah di Subang Jaya dengan kerugian dianggarkan lebih RM90,000.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Yahaya Ramli berkata, wanita itu yang baru tiba di kompleks berkenaan kira-kira jam 11.50 pagi dikatakan didatangi seorang individu tidak dikenali yang mengetuk cermin keretanya.

“Mangsa mendakwa hanya mendengar suspek berkata ‘adik’ dan tidak sedar apa yang berlaku selepas itu.


“Sebaik sedar wanita itu mendapati dirinya ditinggalkan sendirian di perhentian bas di Seksyen 27, Shah Alam. Semua barang peribadi termasuk telefon bimbit, dokumen pengenalan diri, wang tunai RM1,500 dan keretanya turut hilang,” katanya, semalam.

Menurutnya, mangsa yang mendakwa dirinya dipukau juga tidak pasti apa yang berlaku sepanjang perjalanan ke Shah Alam termasuk laluan yang digunakan suspek.

Yahaya berkata, ketika kejadian, mangsa dikatakan sempat berbual-bual dengan suspek sebelum mengeluarkan wang tunai di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di kompleks berkenaan.

“Siasatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati mangsa berjalan sendirian menuju ke ATM di tingkat tiga kompleks berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, rakaman CCTV itu turut menunjukkan imej dua orang berada dalam kereta mangsa jenis Honda Jazz, keluar dari kawasan tempat letak kereta kira-kira jam 1.45 petang.

“Bagaimanapun wajah suspek dan mangsa tidak jelas pada CCTV itu. Siasatan diteruskan bagi menjejaki suspek.

“Suspek dikatakan bertubuh gempal dan mempunyai ketinggian enam kaki selain berkulit cerah dan berjambang.

"Ketika kejadian, suspek dipercayai memakai kemeja T berlengan pendek, berwarna merah,” katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive