29 October 2014

Saat saya mengenali Anwar dan kenapa dia perlu disokong

















Anwar dalam kampus
Anwar bin Ibrahim satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi kepada khalayak ramai, kerana nama ini mewarnai kancah perjuangan Islam dan politik Malaysia sejak tahun 70an lagi. Saya mula mengenali Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sejak zaman menuntut di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) sekitar tahun 80an.
Semasa di UPM saya aktif dalam Persatuan Mahasiswa Islam (PMI), yang mana PMI adalah model Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di dalam kampus. Orentasi dakwah dengan uslub usrah, tamrin dan bacaan al-makthurat menjadikan PMI anak Abim di kebanyakan kampus universiti. Ini adalah kerana organisasi Abim tidak dibenarkan wujud di alam kampus.
Sebaik sahaja saya menamatkan pengajian di UPM, saya tidak mengambil masa lama untuk terlibat aktif dengan Abim di negeri kelahiran saya, Kedah Darul Aman. Oleh kerana latar belakang saya yang terlibat secara langsung dengan Abim, dan DSAI antara pengasas Abim, maka saya selaku ahli Abim amat mengetahui perjuangan DSAI yang menjadi sinonim dengan gerakan ini.
Seingat saya tidak pernah kami terlepas membincangkan isu yang berkaitan dengan DSAI sama ada dalam usrah, tamrin dan perbincangan tertutup mahupun terbuka. Membicarakan isu DSAI adalah sebahagian daripada tarbiyah siasah yang menjadi model “political experiment” dalam kerajaan pada ketika itu.
Anwar dan ijtihad politik kepartian
Keterlibatan beliau dalam kerajaan kadang-kadang mendapat pujian, tidak kurang juga yang menyerang terutama daripada sahabat-sahabat Islam (khususnya PAS) ketika itu. Bagi kami komen, kritikan dan cercaan adalah asam garam kepada sesiapa yang terlibat dalam dakwah.
Tetapi untuk mempertahankan segala pendirian atau tindakan Anwar semasa dalam kerajaan amat sukar bagi kami. Biasanya orang-orang Abim yang menjadi ‘punching beg’ oleh sahabat PAS. Namum kami cuba mencari jawapan-jawapan yang ‘significant’ atau nas-nas yang ada untuk mempertahankan beliau. Ada kalanya amat memenatkan, namun terus bersangka baik, dengan harapan ijtihad yang beliau buat menyertai kerajaan adalah betul.
Tahun 1982 apabila bermula era intim DSAI dengan kerajaan dan khususnya dengan Umno menyebabkan pandangan masyarakat pada orang-orang Abim adalah sama seperti orang Umno. Pengaruh DSAI pada Abim amat sukar dikikis, bagi masyarakat, Anwar Ibrahim itu Abim dan Abim itu Anwar Ibrahim.
Walaupun beliau cuba menjarakkan dirinya dengan Abim, tetapi kehebatan beliau dan keunggulan Abim itu menyebabkan hubungan dan ikatan itu gagal dipisahkan hingga hari ini. Di kalangan orang-orang Umno, beliau juga dipanggil dengan gelaran ‘Pak Sheikh’. ‘Sheikh’ adalah ganti nama yang sering digunakan oleh ahli-ahli Abim untuk panggilan sesama mereka.
Anwar tersingkir daripada kerajaan
Hanya beberapa bulan sebelum peristiwa hitam September 1998, ketika belum ada pokok yang bergoyang daripada tiupan angin yang belum nampak dari arah mana datangnya. Saya menerima panggilan telefon daripada pimpinan kanan Abim pusat supaya bersiap siaga kerana DSAI akan di tangkap di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.
Saya bingung, amat bingung, kusut pemikiran, kaku pergerakan, mana mungkin seorang yang berjawatan timbalan perdana menteri dan timbalan presiden Umno, orang nombor dua dalam kerajaan akan ditangkap di bawah ISA, pelbagai persoalan berbangkit yang belum ada jawapan menghantui pemikiran saya.
Saya diminta memaklumkan kepada Datuk Ustaz Fadzil Noor (presiden PAS) yang berada di Alor Setar dan pimpinan kanan Abim Kedah. Ini adalah arahan daripada Abim Pusat.
Tanpa melengahkan masa, saya yang dalam perjalanan untuk menguruskan suatu urusan terus membuat pusingan ‘U’, untuk bertemu dengan Ustaz Nia’mat Yusof bersama seorang rakan pimpinan Abim. Hanya air mata sahaja membasahi pipi Ustaz Nia’mat selepas kami menyampaikan maklumat tersebut. Kunjungan ke rumah Ustaz Fadzil Noor tidak berhasil kerana dia berada di Kuala Lumpur.
Pelan tindakan seterusnya adalah menunggu ketibaan Ustaz Fadzil Noor di Lapangan Terbang Kepala Batas. Alor Setar. Pesawat terakhir di tengah malam yang membawa Ustaz Fadzil Noor tiba lebih kurang jam 11.50 malam.
Kak Jah nama panggilan untuk isteri Ustaz Fadzil Noor turut menunggu kepulangan suaminya hanya dititipkan beg untuk dibawa pulang. Kami berjanji pada Kak Jah menghantar Ustaz Fadzil ke rumah nanti. Kak Jah amat faham akan kesibukan suaminya dalam perjuangan.
Malam itu saya menjadi pemandu manakala Ustaz Nia’mat Yusof dan Ustaz Fadzil Noor menjadi penumpang mulia saya. Saat itu adalah detik yang amat bahagia bagi seorang petugas gerakan dakwah kerdil seperti saya. Perbincangan hanya dalam kereta, arahan Ustaz Fadzil Noor saya patuhi, hampir sejam saya hanya memandu kereta berpusing-pusing sekitar bandar Alor Setar, sambil membincangkan maklumat yang diterima siang tadi.
Saya nampak Ustaz Fadzil membisu terlalu lama, saya tidak tahu sama ada itu gaya beliau, atau dia memikirkan sesuatu untuk memberikan reaksi pada kami berdua. Saya tak berani menyampuk walau sepatah, apatah lagi kedua-dua mereka adalah guru yang sering membimbing saya secara langsung.
Akhirnya dia bersuara “ Mat kita kena siap sedia, Dr.Mahathir pasti akan menangkap Anwar”, kenyataan itu menyebabkan sendi lutut saya semakin longgar. Saya mengharapkan jawapan yang positif daripada Ustaz Fadzil supaya boleh melegakan perasaan saya, namun beliau memberikan jawapan sejujurnya.
Perbincangan kami sekitar watak Dr Mahathir dan watak Anwar. Dr Mahathir akan buat apa yang dia hendak buat dan tidak takut pada risiko politik, Ustaz Fadzil menerangkan watak Dr. Mahathir yang beliau kenali. Pesan Ustaz Fadzil pada kami berdua, kita mesti pertahankan Anwar dengan apa cara sekali pun. Selepas itu saya hanya mendengar perbincangan tertutup dibuat beberapa kali di antara Ustaz Fadzil dan Anwar dengan dihadiri ramai kenalan Abim pusat.
Segala-galanya berubah, menjelang September 1998, ketika nama beliau sedang gah di persada antarabangsa, dengan gelaran menteri kewangan terbaik Malaysia yang turut diakui dunia ,di mana kemahuan untuk melakukan islah (perubahan) dalam pentadbiran kerajaan dengan pelbagai usaha dan dasar-dasar yang pro Islam khususnya dalam sistem pendidikan, sistem perbankkan Islam, dan dasar serta program yang mesra rakyat, selangkah lagi menuju puncak kuasa, namun ketentuan Allah SWT mengatasi segalanya.
Dia dipecat dan disingkirkan daripada tampuk kuasa dan parti dengan cara paling hina dan amat memilukan. Tuduhan dan fitnah liwat dilemparkan, tanpa segan silu media-media milik kerajaan memainkan peranan melebar luaskan lagi fitnah itu ke seluruh pelusuk negara.
Abim pembela Anwar nombor satu
Umno yang beliau julang selama 16 tahun mengaibkannya dengan memecat keahlian beliau selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT). Suasana kacau bilau dalam negara dengan polimik politik benar-benar membingungkan minda rakyat jelata yang memandang tinggi padanya.
Antara percaya dengan tidak, melihat kewibawaan beliau yang sering membawa nilai-nilai keislaman dengan tuduhan liwat amat bertentangan sama sekali. Selaku mantan presiden Abim, pimpinan Abim dan seluruh ahli-ahlinya tidak dapat menerima fitnah jahat ini. Abim mesti membuat sesuatu kerana maruah DSAI yang terjejas sedikit sebanyak akan menjejaskan kredibiliti Abim juga.
Strategi Abim selanjutnya adalah membantu DSAI dengan menjadikan rangkaian Abim sebagai wadah membersihkan fitnah ini. Ucapan sulung beliau sebaik dipecat sempat dirakam dalam video, kami membuat salinan sekadar termampu dan disebarkan ke seluruh negara.
Tanpa menunggu masa yang panjang DSAI cepat memanfaatkan ruang dan peluang yang Abim berikan. Hajat DSAI menggempur kubu kuat Dr.Mahathir di Kedah disampaikan melalui saudara Saifudin Nasution kepada saya. Beliau menyatakan hasrat DSAI untuk mencari tempat ceramah di Baling atau Kubang Pasu. Selepas berkubu lama di rumah beliau di Damansara Utama.
Namun tidak ada siapa yang berani memberikan tempat kepada Anwar pada ketika itu. Beliau disingkirkan daripada kerajaan, bukan lagi timbalan perdana menteri yang berkuasa. Namun saya nekad DSAI mesti dibawa ke Kedah. Hanya Pondok Ustaz Nia’mat di Derang, Pokok Sena yang tidak ada kena mengena dengan kerajaan yang berani menawarkan premis buat beliau.
Keputusan itu saya buat sendiri tanpa merujuk kepada Ustaz Nia’mat, kerana saya tahu Ustaz Nia’mat pasti akan setuju. Perbincangan dengan rakan-rakan pimpinan memutuskan program ini atas Persatuan Ulama Kedah, yang mana Ustaz Abu Bakar Awang menjadi Yang Dipertua pada masa itu. Ustaz Abu Bakar Awang adalah kenalan rapat DSAI.
Kami mulakan publisiti program dengan menampal poster ke seluruh daerah berdekatan dengan tempat program. Publisiti tambahan adalah daripada media massa TV yang turut memaklumkan kehadiran DSAI di luar Kuala Lumpur.
Pihak polis juga datang untuk melihat tempat program. Oleh kerana program dibuat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang sah berdaftar, dan dibuat dalam kawasan tertutup iaitu dalam dewan, maka permit tidak diperlukan.
Belum pernah saya mengendalikan majlis sebesar itu dalam sejarah umur saya. Kehadiran mencecah puluhan ribu orang dalam tempat yang sangat terhad. Orang ramai terpaksa meletakkan kenderaan berkilometer jauhnya.
Mereka berjalan kaki semata-mata mendengar sendiri penjelasan DSAI mengenai salah laku fitnah liwat yang dituduh kepadanya. Saya yang menjadi pengarah program terpaksa mengurus perjalanan DSAI untuk masuk ke tempat program ini dari jalan belakang yang jarang dilalui orang ramai.
Terlalu ramai sahabat handai, rakan taulan yang datang memberikan sokongan kepada DSAI pada malam itu. Kasih sayang pada seorang tokoh pencetus kebangkitan umat tiada tolok bandingnya.
Kasih sayang seorang abang kepada adiknya
Begitu juga dengan Ustaz Fadzil Noor, walaupun beliau berbeza dalam kem parti politik, namun istiqamah memperjuangkan nasib DSAI pada saya amat luar biasa. Beliau pernah dikecam pimpinan PAS pada saat awal beliau membantu DSAI, namun jawapan politik Ustaz Fadzil menyebabkan pandangan negatif kepada Anwar Ibrahim berjaya diredakan.
Bukan sekadar itu, malah Ustaz Fadzil berjaya menukar polimik yang kronik menjadi peluang terbaik untuk kejayaan gerakan dakwah di Malaysia. Saya tumpang bersyarah di pentas PAS atas kapasiti sebagai setiausaha Abim Kedah, jawatan rasmi pada masa itu. Pentas ini menjadi medan membetulkan persepsi orang ramai pada DSAI.
Walaupun sifat Abim yang ‘non-partisan’ tetapi amat sukar dibezakan bila bersyarah mengenai nasib rakyat dan apa yang menimpa DSAI. Saya terpaksa bercakap dengan nada parti politik mengkritik kerajaan dan perlakuan tidak adil mereka kepada DSAI.
Semasa DSAI dalam penjara, pelbagai versi kami terima. Sumber-sumber dalaman dan luaran menyebabkan perjuangan semakin manis. Penjara bukan noktah pada perjuangan. DSAI mengajar untuk berjuang walau dari dalam jeriji besi.
Semasa beliau dalam penjara, sempat saya menghadiahkan sebuah buku yang saya khatam bacaannya ‘Mencapai Maqam Siddiqun dan Rabbaniyyun’ karangan Sheikh Said Hawwa. Sebuah buku daripada syarah kitab Hikam (Sheikh Ibnu Atil’llah As-Sakandari) yang saya tekuni membaca dan merasai kelazatan ilmunya.
Saya hanya mampu menghantar kepada DSAI yang berada di dalam penjara Sungai Buluh pada ketika itu bersama sepucuk surat yang saya selitkan dalam buku tersebut. Surat daripada seorang adik kepada abangnya yang sedang menghadapi kesulitan di penjara. Hanya tawakal kepada Allah moga buku itu dapat sampai ke tangan beliau.
Menghadiahkan buku itu adalah nazar saya, apabila saya habis membaca maka saya akan menghadiahkan buku tersebut padanya. Alhamdulilllah, walaupun beliau tidak mengenali saya dengan dekat, namun hajat dan hasrat saya termakbul juga akhirnya.
Beliau membalas surat saya dengan mengungkapkan cacatan perjuangan bersama-sama rakan-rakan Abim Kedah. Nama-nama Ustaz Nia’mat Yusoff, Sheikh Azmi Hj Ahmad, Cikgu Ibrahim Yaakob, Ustaz Azizan Hamid diungkapkan dengan sorotan perjuangan mesti diteruskan walau di mana kita ditempatkan.
Anwar dan reformasi politik
Reformasi politik yang diketengahkan Anwar sebelum beliau terhumban dalam penjara digenggam kemas. Pilhan raya 1999 adalah cacatan manis apabila Ustaz Fadzil Noor Berjaya di bawa ke Parlimen sekaligus menjadi ketua pembangkang.
Ramai pimpinan Abim dihantar untuk bertanding atas tiket PAS termasuk Ustaz Nia’mat Yusof yang bertanding di Dewan Undangan Negeri Tanjung Seri. Datuk Sheikh Azmi Ahmad bertanding diParlimen Kulim Bandar Baharu atas tiket Parti Keadilan Nasional pada masa itu. Saya terlibat secara langsung dalam rundingan mencadangkan nama-nama pimpinan Abim Kedah bersama pimpinan Abim Pusat di rumah Ustaz Fadzil Noor.
Ketika penubuhan Parti Keadilan Nasional, Datuk Sheikh Azmi dilantik menjadi naib presiden di pusat merangkap pengerusi Perhubungan Keadilan Kedah. Beliau meletakkan jawatan 24 jam daripada jawatan Ketua Hakim Syarie Malaysia kerana tidak setuju dengan pentadbiran Dr Mahathir memecat Anwar Ibrahim.
Saya menjadi ‘budak suruhan’ Sheikh Azmi.. Pada awal penubuhan beberapa bahagian Parti Keadilan di Kedah, saya bersama sahabat-sahabat Abim yang lain terlibat dengan aktif menubuhkannya, dengan meminta rakan-rakan Abim memegang jawatan atau menganggotai jawatankuasa penaja, atau menjadi ahli parti. Saya sendiri menjadi ahli di Bahagian Langkawi.
Pada 2008, ketika DSAI akan memimpin pilihan raya yang beliau tidak boleh bertanding, beberapa nama sahabat, dan pimpinan Abim diketengahkan. Saya turut dipinang menjadi calon ketika itu, Namun jawatan saya dalam Abim menyebabkan keputusan perlu dirujuk pada Majlis Syura Negeri.
Walaupun ada rundingan yang berlaku dengan DSAI untuk bertanding ketika itu, namun keputusan Majlis Syura Negeri menolak hasrat saya untuk bertanding. Saya terpaksa membuat rayuan pada pimpinan pusat yang lebih atas (macam mahkamah rayuan pula). Alhamdulillah permohonan saya diterima. Pimpinan pusat merestui hasrat saya dan memaklumkan pada pimpinan Kedah untuk membantu saya sedaya mungkin.
Anwar yang sebenarnya
Setelah bergelar ahli Parlimen dan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) parti, saya berkesempatan mendampingi DSAI secara lebih dekat. Masih banyak lagi yang perlu saya pelajari daripada beliau. Ketinggian pemikiran beliau dalam semua bidang termasuk agama, politik, pentadbiran, kewangan, falsafah, siasah syari’yah, hubungan antarabangsa, bahasa, komunikasi, kebudayaan dan lain-lain. Menjadikan saya insan kerdil di sisinya.
Apa yang saya milik hanyalah kudrat tulang empat kerat bagi membantu beliau sedaya mungkin. Kita masih berhutang pada Anwar Ibrahim, demikian kata-kata Datuk Dr Siddiq Fadhil, presiden Wadah Pencerdasan Ummah pada satu majis anjuran Abim. Pada saya menjadi ahli Parlimen pun belum terbayar hutangnya yang mengagaskan perjuangan Abim dan fikrah murni Islam yang sedang kita nikmati hari ini.
Berhadapan dengan kes fitnah liwat siri I dan II, serta fitnah jahat video sex, sedikitpun tidak menggugat kepercayaan dan penghormatan saya pada DSAI. Saya amat yakin berdasarkan tarbiyyah dalam perjuangan Abim yang diasaskan oleh beliau bersama rakan-rakan pimpinan, hakikat perjuangan mesti menempuh mehnah, ujian dan tribulasi.
Kitab Ustaz Mustaffa Mashyur Mantan Murshidul Am Ikhwan Al-Muslimin mengenai ‘Tribulasi Perjuangan’ yang dijadikan teks usrah dahulu masih relevan hingga kini. Allah SWT akan menempatkan kita pada posisi yang sesuai dengan tahap keimanan kita kepada Allah SWT. Prinsip agama yang saya pegang menolak bulat-bulat fitnah jahat kepada beliau.
Pada Allah juga saya berserah, padaNya juga saya mohon pertolongan, kekuatan, ketabahan, kesabaran untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang bakal berlaku pada perbicaraan nanti. Di hadapan kita ada bahtera negara Malaysia yang perlu dikemudi dengan keperibadian unggul, pemikiran tinggi, akhlak yang terpuji, kegigihan usaha, keyakinan diri dan memiliki integriti serta sejumlah ciri-ciri kepimpinan yang tiada tolok bandingnya untuk membawa Malaysia ke mercu kejayaan. 
Siapa lagi yang perlu kita sokong dan kita tolong, kalau bukan insan yang bernama Anwar bin Ibrahim. . . . Allahu Akbar !!!

4 comments:

Umnolucah said...

memang anwar wajar disokong sebb dia difitnah sgt teruk.

memang wajar umno diturunkan sebb mereka penganjur fitnah lucah.

apa salahnya sokong anwar sebagai individu? kalau tolong kucing sakit pun amat mulia, apatah lagi sokong bela pejuang rakyat yg sanggup hadapi apa saja demi rakyat.

SAMADA ANDA BERSAMA PEMFITNAH ATAU ANDA BERSAMA INSAN YG DIZALIMI?

agak2 Allah bersama siapa?

Benci Zalim said...

anwar adalah lagenda pejuang rakyat sepanjang zaman.

tidak ada penafian lagi.

kalau pemimpin umnulucah nk lawan merit anwar, sila masuk penjara dan sedia dibelasah lebam mata patah tulang belakang dan sedia difitnah liwat 15 tahun.

YA ALLAH PELIHARALAH DSAI DAN KELUARGANYA DAN BINASAKAN LAH PUAK2 FITNAH YG KEJAM DAN ZALIM SEKARANG JUGA!

AMIIIIIIIINN

Anonymous said...

uwekkk....plssss...time nk mintak sokongan pas bkn main lagi diputarkan nostalgia fadhil nor...uwekkkk

saman org pkr terhadap presiden pas pun xleh nk tlg buangkan...uwekkkk

setaraf ulamak la...setaraf mandela la...plssssssss

Unknown said...

sebuah cerita kebenaran insan yang bernama anwar. Aku yakin bahawa Anwar bukan lah insan sejahat yang di gembar gemburkan oleh media perdana. kalau dia jahat mana mungkin dia di berikan ruang untuk berucap di majlis persidangan ulama sedunia. mesti ada ciri ciri islam yang sejati pada dirinya baru anwar di berikan kepercayaan untuk berucap.

aku sangat risau kalau ramainya raknyat yang percaya anwar sebagai peliwat daripada yang tidak percaya.

kerana janji allah itu pasti terjadi kerana orang yang baik di katakan tidak apa tah lagi memalukannya. maka tunggulah bala Allah yang sangat dahsyat terhadap raknyat malaysia. Bala yang turun tidak akan memilih sama ada kita sokong atau tak.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive