28 December 2014

Banjir Terkawal, Darurat Tidak Perlu




KUALA LUMPUR: Pengisytiharan darurat bencana akibat banjir besar yang melanda sembilan negeri ketika ini tidak perlu dilakukan buat masa sekarang kerana kerajaan dilihat masih mampu mengawal keadaan.
Ketua Kluster Governans, Perundangan dan Pengurusan Awam Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata tumpuan sepatutnya diberikan kepada usaha menyelamat dan membantu mangsa terjejas banjir.
"Kerajaan masih dapat mengawal keadaan, setakat ini kerajaan tidak perlu membuat perintah-perintah tertentu, misalnya mengambil harta persendirian untuk dijadikan pusat pemindahan.
"Seperti kata Timbalan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin), kalau tidak isytihar darurat banjir, kita masih perlu selamatkan mangsa, kalau isytihar pun sama juga, jadi saya rasa kalau tidak perlu, tak payah isytihar darurat," katanya.
Bencana banjir yang melanda beberapa negeri sejak pertengahan bulan iaitu Kelantan, Terengganu, Johor, Pahang, Perak, Kedah, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor sehingga kini menyaksikan lebih 130,000 mangsa terpaksa dipindahkan.
Nik Ahmad Kamal berpendapat pengisytiharan darurat akibat banjir hanya akan dilakukan sekiranya kerajaan perlu membuat suatu tindakan drastik atau mengeluarkan perintah-perintah tertentu dengan segera untuk mengatasi bencana itu.
"Tujuan diisytihar darurat adalah untuk kerajaan mengambil langkah-langkah yang drastik misalnya memerlukan satu peraturan yang cepat untuk mengatasi bencana banjir itu.
"(Selain itu) kerajaan juga tidak boleh menunggu misalnya Parlimen bersidang untuk membuat undang-undang (bagi mengatasi masalah banjir), maka boleh diisytiharkan darurat untuk tujuan itu," katanya yang juga Penasihat Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Beliau berkata antara langkah yang akan dilakukan apabila darurat bencana banjir berlaku ialah pengambilan tempat-tempat persendirian misalnya rumah atau bangunan untuk dijadikan pusat pemindahan atau bilik gerakan.
"Tapi buat masa sekarang, itu tidak perlu, dalam keadaan yang terdesak pun tidak perlu undang-undang darurat kerana kerajaan boleh memohon dan berunding dengan pihak persendirian," katanya.
Mengikut rekod, hanya sekali sahaja darurat bencana pernah diisytiharkan iaitu semasa banjir besar melanda negara pada Januari 1971, dengan hampir separuh ibu negara ditenggalami air, manakala Sabah dan Sarawak juga mengalami bah besar.
Sementara itu, Geostrategis Prof Madya Dr Azmi Hassan berkata antara kriteria lain bagi pengisytiharaan darurat bencana adalah apabila bantuan kepada mangsa banjir tidak dapat dihulurkan berikutan keadaan banjir yang sangat meruncing.
"Tetapi pada ketika ini, mekanisme bantuan itu masih berjalan dan boleh disalurkan lagi, sebab itu tidak diisytiharkan darurat pada ketika ini," katanya.
Selain itu, Azmi berkata darurat juga akan diisytiharkan jika ramai mangsa enggan berpindah dan memilih untuk kekal di rumah mereka walaupun kediaman mereka ditenggelami banjir.
"Bila darurat banjir berlaku maka setiap arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa terutamanya oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara), termasuk arahan untuk berpindah dan juga arahan untuk menggunakan aset-aset yang lain (perlu dipatuhi)," katanya.
Menurut Arahan MKN No.20: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara, pengisytiharan darurat bencana, apabila perlu, dibuat secara peraturan pentadbiran dan eksekutif oleh Perdana Menteri atas syor Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), tertakluk kepada undang-undang dan tatacara kerajaan yang sedang berkuat kuasa.
Apabila diisytiharkan sebagai darurat bencana, pengurusan bencana serta bantuan dan pemulihan kepada mangsa-mangsa bencana akan dikendali dan dibiayai oleh kerajaan Persekutuan mengikut kementerian atau jabatan yang berkaitan.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive