09 December 2014

Fatma Ratu Muslimah Sedunia 2014

Memartabat kehidupan wanita Islam


FATMA (tengah) dinobatkan sebagai Ratu Anugerah Muslimah Sedunia 2014 yang turut membabitkan 17 peserta seantero dunia.


“SEMOGA Allah yang maha berkuasa membantu saya dalam misi ini dan bebaskan rakyat Palestin serta Syria,” ujarnya sambil bergenangan air mata.
Ternyata, tiada apa yang lebih memuaskan hati Fatma Ben Guefrache, 25, selain dapat melontarkan mesej tersebut apabila dia mendapat tumpuan dunia selepas dinobatkan sebagai Ratu Anugerah Muslimah Sedunia 2014. Seramai 18 orang peserta seantero dunia bertanding di pusingan akhir itu yang berlangsung di Yogyakarta, Indonesia pada November lalu.
Fatma ketika itu memakai gaun labuh berwarna hijau zamrud digandingkan dengan jaket sepadan bersulam benang emas. Wanita cantik dari Tunisia itu ditakhtakan dengan tiara berbatu hijau zamrud sesuai dengan seri persalinan digayakannya.
Menurut anak ketiga daripada lima adik-beradik itu, dia lebih selesa hidup dan tampil dengan gaya sederhana serta ringkas. Walaupun di atas pentas keningnya kelihatan cantik dicelak kemas, kelopak mata berseri dengan dua tona pembayang, pemerah pipi dioles membentuk buah pipi serta warna lembut gincu merah jambu menghiasi bibir namun, itu bukanlah penampilan lazim dirinya.
“Saya sebenarnya seorang yang sukakan gaya ringkas kerana saya merupakan seorang jurutera dalam sains komputer dan aktivis sosial. Saya yakin untuk menyertai pertandingan ini kerana ia bukan diadili dari sudut gaya tudung dililitkan tetapi kerohanian dalam melaksanakan kewajipan tersebut.
“Penglibatan saya dalam acara ini adalah bertujuan untuk mendapatkan pengalaman dan pengetahuan daripada sesama muslimah dari seluruh dunia dan membantu memperjuangkan masa hadapan umat Islam di Palestin,” katanya.
Tambah Fatma yang gemar mengenakan tudung bawal, dia tidak meletakkan impian untuk menang dan dibiarkan berlaku mengikut ketentuan Illahi. Jelasnya, setiap finalis memiliki karakter yang kuat dan kepakaran dalam bidang masing-masing. Fatma menerima seutas jam tangan emas, dinar emas bernilai lebih Rp100 juta (RM28,000) dan pakej umrah.
Ratu Dunia
Kesemua peserta pertandingan Anugerah Muslimah Sedunia 2014 wajib memakai tudung dan mereka bukan sahaja dinilai berdasarkan penampilan, malah kebolehan membaca al-Quran dan pandangan tentang agama Islam dari perspektif dunia moden.
“Kami mahu mereka memahami segala-galanya tentang cara hidup Islam termasuklah sumber yang mereka makan, pakai dan cara menjalani kehidupan,” ujar salah seorang penganjur, Jameyah Sheriff.
Anugerah Muslimah Dunia dilancarkan pertama kali pada 2013 sebagai bentuk bantahan secara aman acara Ratu Dunia yang diadakan pada masa sama di pulau peranginan popular Bali, Indonesia. Pertandingan Ratu Dunia berkenaan dikecam hebat oleh umat Islam gara-gara peserta memakai pakaian bikini dalam salah satu pusingan yang dianggap menjatuhkan maruah wanita. Penentangan itu menyebabkan penganjur terpaksa membatalkan acara berbikini berkenaan.
Mengulas lanjut mengenai Anugerah Muslimah Sedunia, Fatma berkata, ia adalah laluan baharu untuk memfokus kepada umat Islam di seluruh dunia. Kebanyakan negara dengan minoriti umat Islam memandang agama ini dengan sebelah mata, malah ada yang menganggap umat Islam sebagai pengganas.
“Ia turut berlaku di tempat tinggal saya di Perancis. Kadang-kadang saya mendapat layanan yang kurang baik hanya kerana memakai hijab. Pernah suatu ketika saya dianggap sebagai pengganas di sebuah pasar raya dan mereka takut melihat saya,” katanya memberitahu keadaan di Indonesia jauh lebih baik malah tidak ada halangan bagi Muslimah untuk terus maju dalam kehidupan.
Fatma memberitahu, dia akan mengekalkan personaliti yang ringkas dan tidak obses dengan kecantikan dimiliki bersesuaian dengan ajaran agama Islam. Selain itu, dia juga bertekad untuk membantu sedaya upaya dalam memperkasakan wanita Islam menerusi kegiatan-kegiatan kebajikan dan menyebarkan mesej untuk tidak memandang ras warna kulit apatah lagi perbezaan agama.
Salah seorang peserta Britain, Dina Torkia berkata, dia berharap acara Anugerah Muslimah Sedunia 2014 bukan sahaja menampakkan perbezaan ketara antara pertandingan ratu cantik anjuran dunia Barat tetapi juga akan menghapuskan prejudis terhadap umat Islam.
“Saya rasa, perkara yang paling penting adalah untuk menunjukkan bahawa kami (Muslimah) cuma gadis biasa dan kami tidak berkahwin dengan pengganas. Tiada apa yang perlu ditakutkan dengan selendang pada kepala saya,” katanya.
Tarik diri
Dalam pada itu, beberapa peserta pertandingan turut berdepan dengan cabaran apabila tujuh daripada mereka yang layak ke pusingan akhir menarik diri sementara yang lain bergelut dengan sistem birokrasi Indonesia bagi mendapatkan visa.
Jameyah berkata, kebanyakan mereka menarik diri kerana dihalang keluarga. Seorang peserta dari India pula terlepas penerbangan awal kerana disoal siasat oleh pegawai-pegawai yang mencurigainya berjalan bersendirian dan memakai tudung.
Masturah Jamil pula sanggup menggadaikan periuk nasinya untuk mengambil bahagian pada edisi keempat pertandingan tersebut apabila menghantar surat peletakan jawatannya sebagai seorang tenaga pengajar di Singapura.
Ujar Jameyah, pihaknya berharap acara tersebut dapat membentuk ikon baharu dengan peranan positif untuk wanita Islam dari seluruh dunia yang berusia antara 18 hingga 27 tahun termasuk seorang doktor muda dari Bangladesh.
Bagaimanapun, bukan semua peserta menikmati perjalanan mereka untuk dinobatkan sebagai juara kerana Dina memberitahu keyakinan dirinya yang terbentuk pada permulaan pertandingan bertukar menjadi perasaan mendukakan.
“Saya menyertai pertandingan ini dengan harapan dapat menguatkan lagi iman dalam diri tetapi setakat ini apa yang dapat saya lihat hanyalah media dan promosi di samping tampil dengan imej lebih bergaya,” katanya.
Sepanjang acara tersebut berlangsung, para peserta dibawa melawat rumah anak-anak yatim dan rumah kebajikan serta merakamkan gambar kenangan di Borobudur, sebuah kuil Buddha yang terkenal berhampiran dengan Yogyakarta, kawasan tengah Jawa.
Acara kemuncak itu berlangsung di atas pentas berlatarbelakangkan pemandangan di Prambanan iaitu kompleks abad kesembilan di kuil Hindu yang merupakan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains, dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu di Pulau Jawa. Penganjuran di tapak penyembahan agama Hindu itu merupakan satu keputusan rasional bagi menunjukkan bahawa umat Islam juga menerima kewujudan agama-agama lain.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive