05 December 2014

Rogol: Guru tuisyen dipenjara 50 tahun

Rogol: Guru tuisyen dipenjara 50 tahun
ALOR SETAR - Akibat mengikut hawa nafsu, seorang guru tuisyen meringkuk dalam penjara selama 50 tahun dan sebatan 10 kali setelah Mahkamah Sesyen di sini hari ini mendapatinya bersalah atas lima pertuduhan merogol pelajarnya, tahun lalu.
Lee Kian Kiong, 24, yang mengajar mata pelajaran Matematik di sebuah pusat tuisyen di sini didakwa merogol pelajarnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun antara 4 Februari dan 13 Mac 2013.
Menurut kertas pertuduhan, tertuduh pertama kali melakukan kesalahan itu pada pukul 2.30 petang, 4 Februari 2013, di pusat tuisyen berkenaan yang terletak di Kompleks Perniagaan Taman Bistari, Le­buhraya Sultan Abdul Halim di sini.
Kesalahan itu diulangi sebanyak tiga kali di tempat sama iaitu pada pukul 5.30 petang, 3 Mac 2013; 10 malam, 5 Mac 2013 dan 2.30 petang, 8 Mac 2013.
Bagi pertuduhan kelima, Kian Kiong didakwa melakukan kesalahan sama di sebuah rumah di Taman Sri Kota, Jalan Kuala Kedah, di sini pada pukul 11.30 malam, 13 Mac tahun sama.
Hakim Azhar Mokhtar menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan sebatan dua kali bagi setiap pertuduhan.
Beliau memerintahkan hukuman bagi pertuduhan pertama dan kedua dijalankan secara berasingan manakala hukuman bagi tiga lagi pertuduhan berjalan serentak dengan pertuduhan pertama.
Dalam keputusannya, Azhar menjelaskan, hukuman tersebut sebagai pengajaran dan peringatan kepada semua warga pendidik mahupun mana-mana pihak yang 'berminat' melakukan kesalahan sama agar menjauhi perbuatan itu.
“Walaupun wujud konteks hubungan dua hala atau suka sama suka, namun undang-undang negara menyatakan adalah salah untuk menjalin hubungan seksual dengan mereka yang masih di bawah umur. Kesalahan ini berlaku secara berulang-ulang dan sebagai guru, kamu sepatutnya tahu batas hubungan antara guru dan pelajar,” katanya.
Sementara itu, peguam, John Fernandez yang mewakili tertuduh memohon penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan selesai atas alasan tertuduh tidak pernah gagal hadir perbicaraan dan tiada kemungkinan anak guamnya melarikan diri.
Timbalan Pendakwa Raya, Ayu Rohaiza Khazali walau bagaimanapun membantah permohonan itu, namun sekiranya mahkamah membenarkannya, beliau menggesa jumlah jaminan yang tinggi dikenakan terhadap Kian Kiong.
“Saya juga memohon agar pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah kerana banyak terjadi sebelum ini, orang dituduh gagal dikesan apabila kes sampai ke Mahkamah Tinggi,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dengan syarat Kian Kiong diikat jamin RM40,000 berserta dua penjamin selain pasport lelaki itu perlu diserahkan kepada mahkamah sebagai syarat jaminan.
Selain itu, Kian Kiong perlu membayar kos pendakwaan sebanyak RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal berbuat demikian. -UTUSAN

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive