03 December 2014

Saya Terpaksa Pakai Seluar Dalam Sahaja - Wan Hanafi Su


..
Bagi anda yang sudah menonton filem Lelaki Harapan Dunia, ketepikan tentang kontroversi filem yang masih rancak lagi ditayangkan di pawagam kerana yang pasti, anda akan tersenyum sendiri teringatkan watak Awang lakonan yang cukup berkesan dijayakan pelakon senior, Wan Hanafi Su.
Menurut aktor yang pernah dinobat sebagai Lelaki Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2013, pengalaman menghidupkan watak filem berkenaan dianggap paling mencabar, manis, pahit dan melucukan sepanjang bergelar pelakon sejak tiga dekad.
Pelakon berusia 63 tahun ini berkata, dia tidak berfikir panjang memberi kata setuju selepas tertarik pada skrip. Namun sewaktu penggambaran, dia berdepan beberapa cabaran besar terutama babak menjadi orang minyak dan menyelam sungai.  
Cabar Diri Berbogel
Sejujurnya, Wan Hanafi menyatakan perasaan malu dengan dirinya apabila hanya perlu memakai seluar dalam untuk babak sebagai orang minyak.
Namun, dia memberanikan diri melakukan babak itu kerana terasa tercabar dengan diri sendiri.
Bukan itu saja, keseluruhan badannya dihitamkan dengan menggunakan kiwi kulit dan akibatnya dia terpaksa membersihkan badan selama tiga jam untuk menghilangkan kesan hitam tersebut.
"Ketika membaca skripnya, terus saya suka dan saya katakan pada pengarah saya mahu bawa watak itu. Jadi, apabila sudah bersetuju ertinya apa juga kehendak pengarah saya perlu lakukan dan ia adalah cabaran terhadap saya sebagai seorang pelakon.
"Semasa babak orang minyak, saya bertanya kepada kru wardrobe saya harus pakai bagaimana? Mereka minta saya pakai seluar dalam saja.
"Saya terkejut dan pada mulanya saya enggan. Saya cadangkan kalau boleh pakai seluar pendek kerana maklum sajalah saya sudah berusia, nanti apa pula orang kata.
"Namun, mereka kata tak nampak 'real'. Mahu tidak mahu sehingga saya terpaksa juga hanya pakai seluar dalam," katanya ketika dihubungi Malaysian Digest.
Katanya, dia malu dan tertawa sendiri dengan aksi itu tetap tetap bersikap profesional.
"Tapi untuk babak itu, semua yang berada di set penggambaran tidak percaya saya mampu berlari laju. Itu satu pengalaman pahit dan manis sepanjang penggambaran," katanya.
Tambahnya, babak menyelam di dalam sungai menjadi pengalaman melucukan  apabila dia diarahkan menyelam selama 8 sehingga 10 saat tetapi ketika berada dalam air deras, dia tidak timbul   sehingga membuat semua kru panik seketika.
"Saya tanya pada Seng Tat, berapa lama saya perlu menyelam. Katanya hanya 8 hingga 10 saat. Saya pun kata pada dia, ingatkan 8 hari.
"Ketika babak itu, pihak produksi mendapatkan khidmat pihak bomba dan mereka menunjukkan pada saya cara menyelam dan menggunakan tangki oksigen.
"Semasa melakukan babak itu, saya tidak mahu pakai tangki oksigen sebab saya hanya perlu sekejap berada dalam air," katanya.
Sementara itu, Wan Hanafi juga mengulas kontroversi filem ini sambil menyatakan rasa terkilan apabila ramai melihat filem ini dari sudut negatif berbanding mesej positif yang mahu disampaikan.
Tidak menyebelahi sesiapa, dia tetap mempunyai jati diri yang kuat.  
"Sebenarnya, dari awal sewaktu baca skrip, saya sudah tahu dan dapat merasakan yang filem ini komedi dan sindirannya tajam.
"Saya setuju berlakon filem ini bukan kerana mahu memperlekehkan Melayu. Malah, saya ada bertanya kepada pengarah bagaimana pihak Finas boleh meluluskan filem ini? Tapi apa yang boleh saya katakan, kami sebagai pelakon sudah berikan lakonan terbaik.
"Negara kita mengamalkan demokrasi dan semua orang bebas meluahkan pendapat masing-masing,"
"Pada saya filem ini bukan sampah tetapi ia adalah komedi serius. Ada banyak mesej positif dalam filem ini seperti tradisi angkat rumah itu sendiri sebagai satu gambaran bersatu di mana kalau kita semua bekerjasama pasti kita akan berjaya," katanya yang pernah terpalit kontroversi ketika melakonkan babak ranjang dengan pelakon Marsha Milan Londoh meneusi  filem Laga arahan Ismail Yaacob.
Selain Wan Hanafi Su, Lelaki Harapan Dunia yang juga sudah menembusi beberapa festival antarabangsa turut menampilkan Azhan Rani, Soffi Jikan dan Jalil Hamid.
- mD

1 comment:

Anonymous said...

LEPAS NI.."SAYA TRPAKSA BERZINA KRNA NAK MENGHAYATI WATAK ZINAAA..."

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive