15 January 2015

'Ada VVIP peluk Shah Rukh Khan, mana JAWI?'


Usaha Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) untuk menyiasat remaja yang dirangkul dan dicium artis K-Pop terus mendapat kritikan dan sindiran sinis oleh para artis, dan pemimpin gerakan sivil tempatan.

Antara yang paling lantang, pelakon dan pelawak terkenal Adibah Noor yang berkongsi pengalamannya melihat gelagat para “isteri orang” dan “makcik-makcik” ketika berdepan dengan artis pujaan mereka.

“Gadis terpengaruh dengan anasir luar sampai lupa jati diri Islam? Tolonglah.

“Saya pernah lihat para isteri orang, makcik-makcik meraba dan mengucup para artis lelaki tempatan,” katanya di Twitter.

Beliau bagaimanapun tidak menamakan individu yang dimaksudkannya dalam kenyataannya itu dan tidak menyatakan sekiranya wanita berkenan turut disiasat oleh JAWI.

Selain itu, bekas MP, Datuk Zaid Ibrahim pula berkata, kejadian berpelukan juga berlaku semasa satu persembahan konsert oleh bintang Bollywood, Datuk Shah Rukh Khan.

Beliau mendakwa, JAWI bagaimanapun tidak bertindak kerana acara tersebut dihadiri orang kenamaan, yang tidak dinamakannya.

Peluk Shah Rukh Khan

“Mana JAWI masa konsert Shah Rukh Khan? Ada hugging dan peluk juga. Tapi VVIP pun ada jadi tak ada tindakan.



“Anak muda nak bergembira sikit heboh seluruh negara. Apa pengawasan ke atas orang atasan?,” katanya lagi di Twitter.

Kumpulan pemimpin masyarakat sivil pula mendakwa Jabatan JAWI bertindak keterlaluan kerana mengancam untuk menangkap tiga remaja bertudung yang dilaporkan dipeluk dan dikucup anggota kumpulan artis K-Pop.

Antaranya, peguam hak asasi, Datuk S Ambiga yang bimbang tindakan itu akan menyebabkan remaja bertudung berkenaan mengalami trauma.

"JAWI mahu mendapatkan waran tangkap kepada gadis muda dalam K-Pop? (Tindakan) itu boleh mendatangkan trauma kepada mereka buat sepanjang hidup mereka," katanya di Twitter.

Sementara itu, NGO hak asasi wanita Sisters in Islam pula mempersoalkan peruntukan undang-undang yang didakwa “terlalu luas” untuk siasatan bagi kes itu.

Dalam kenyataan di laman Facebook mereka, NGO itu mendakwa peruntukan tersebut "boleh membuka ruang untuk penyalahgunaan penguatkuasaan sewenang-wenangnya dan terpilih."

'Tak ada kerja lain?'

Ia merujuk kepada siasatan JAWI mengikut  bawah Seksyen 29 Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) Perbuatan Tidak Sopan di Tempat Awam.

Tindakan berkenaan turut menimbulkan sindiran daripada aktivis hak asasi dan media, V Gayathry yang mempersoalkan keutamaan JAWI dalam menjalankan operasi mereka.

"Serius? JAWI mahu waran tangkap terhadap peminat artis K-pop? Anda tak ada kerja lain ke?,” katanya yang juga pengarah eksekutif Pakatan Akhbar Asia Tenggara (Seapa).

Beliau mengulas laporan yang menyebut, JAWI akan mendapatkan perintah mahkamah untuk mengeluarkan waran tangkap sekiranya remaja bertudung tersebut tidak hadir untuk siasatan.

Laporan Utusan Malaysia menyebut, pengarah JAWI Paimuzi Yahya berkata jabatan itu memberi tempoh tujuh hari bermula semalam kepada remaja perempuan itu untuk tampil bagi siasatan.

Video menunjukkan aksi anggota kumpulan B1F4 itu beredar di blog dan laman sosial popular sejak Sabtu lalu.

Ia menunjukkan salah seorang ahli kumpulan itu berinteraksi dengan mesra dengan beberapa remaja perempuan bertudung dan memeluk mereka di atas pentas.

Ia turut menunjukkan seorang daripada anggota kumpulan dari Korea Selatan itu mengucup salah seorang daripada mereka di bahagian ubun kepala.

Kumpulan remaja bertudung itu dilihat gementar namun ada di kalangan mereka dilihat membalas rangkulan artis tersebut. - mkini

1 comment:

Anonymous said...

jawi tak ada kote habis kena kerat

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive