27 January 2015

Selepas 31 hari operasi SAR QZ 8501 dihentikan

Selepas 31 hari, dan 70 dari 162 mayat penumpang pesawat Air Asia QZ 8501 Surabaya Singapura yang terhempas Disember lalu, hari ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) dihentikan pihak berkuasa Indonesia.
Laporan stesen televisyen tvOne menyebut, operasi berkenaan dihentikan selepas tiada lagi mayat ditemukan dalam fiuslaj atau badan pesawat yang masih gagal dibawa keluar dari dasar Laut Jawa.
Jelas laporan itu, pengumuman tersebut dibuat oleh Panglima Komando Armada Republik Indonesia (RI) Kawasan Barat, Laksamana Muda Widodo dari atas kapal KRI Banda Aceh di Selat Karimata.
“Operasi ini telah berlangsung lebih 30 hari dan akan dihentikan serta-merta.
“Kami memohon maaf kepada ahli keluarga mangsa. Kami telah lakukan yang terbaik untuk mencari baki mayat yang hilang,” katanya.
Bagaimanapun, Pengarah Badan SAR (Basarnas) Indonesia, SB Supriyadi ketika dihubungi sebuah portal berita Indonesia berkata, perkara tersebut masih dibincangkan oleh pihak yang terlibat dalam operasi terbabit.
Jelasnya, mengikut prosedur standard, tempoh operasi yang dijalankan hanya selama seminggu tetapi pihaknya telah menjalankan misi SAR selama 31 hari sejak pesawat Airbus A320-200 itu terhempas pada 28 Disember lalu.
“Kami masih berbincang sama ada mahu menghentikan operasi ini dengan serta-merta,” katanya.-27/1/2015 - AgendaDaily

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive