24 January 2015

Video Zamani: Dua Anggota Polis Digantung Tugas


Diterbitkan: Sabtu, 24 Januari 2015 2:42 PM

PETALING JAYA: Dua anggota polis yang memaksa penyanyi kumpulan popular 90-an menyanyi ketika di lokap dan tangannya digari telah digantung tugas.
Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman, Datuk Zubaidah Md Ismai berkata, pihaknya mengadakan siasatan berhubung penyebaran video penyanyi, Zamani Ibrahim yang menjadi virul menerusi media sosial itu.
"Ketua Polis Negara memberi kebenaran kepada jabatan untuk memindahkan anggota terbabit daripada tugas sehingga siasatan selesai.
"Kami bukan sahaja menyoal siasat mereka, tetapi juga penyelia mereka untuk mengetahui bagaimana kesilapan seumpama itu boleh berlaku dalam prosedur tugas polis.
"Kami menyiasat dari semua sudut," katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan pangkat kedua-dua anggota terbabit, tetapi memberi jaminan tindakan tegas akan dikenakan jika didapati melanggar Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.
Senior Deputi Komisioner Zubaidah menambah, pasukan itu tidak akan bertolak ansur terhadap perlakuan buruk itu termasuk menganiaya tahanan.
Malahan, katanya, tindakan yang dilakukan kedua-dua pegawai polis itu adalah sesuatu yang memalukan.Zamani, 43 ditahan pada Rabu kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di kediamannya di Taman Keramat, Ampang.
Penyanyi kumpulan Slam itu ditahan bersama teman wanitanya yang berusia 32 tahun disyaki memiliki bungkusan mengandungi 1.2 gram heroin.
Menerusi video yang dipercayai dirakam sebaik Zamani ditahan itu menunjukkan dia menyanyikan lagu Gerimis Mengundang, salah satu lagu popular kumpulannya, sambil tangannya digari.
Rakaman video itu menjadi viral di media sosial dan mendorong pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara itu.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive