Diterbitkan: Isnin, 21 April 2014 2:58 AM
Boeing 737-800 milik MAS yang serupa dengan model MH192 yang melakukan pendaratan cemas di KLIA pada awal pagi Isnin, 21 Apr 2014.
PETALING JAYA: Sebuah pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH192 yang sedang dalam perjalanan ke Bangalore, India terpaksa berpatah balik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas salah satu rodanya tidak dapat berfungsi dengan sempurna ketika berlepas, berjaya mendarat dengan selamat pada jam 1.56 pagi Isnin.
MAS mengesahkan tentang kejayaan para juruterbangnya mendaratkan pesawat 737-800 itu dengan selamat menerusi laman tweeternya.
Sebelum itu, Pengurus Perhubungan Media dari Bahagian Komunikasi Strategik MAS, Khairunnisak Dzun Nurin telah mengeluarkan satu kenyataan segera yang menyebut bahawa pesawat berkenaan telah menyedari yang mekanikal pada bahagian roda kanannya telah mengalami kerosakan sebaik sahaja berlepas dari KLIA pada jam 10.09 malam Ahad.