Kalau kita ini tuan kedai, dan kita tangkap seorang anak muda mencuri coklat, kemudian mahu didakwa anak muda itu di mahkamah; adalah menjadi tanggungjawab tuan kedai untuk membuktikan bahawa coklat yang yang dicuri itu miliknya, dan hak milik itu dirampas tanpa izinnya. Mudah begitu.
Kalau kita ini tuan kedai, dan ada anak muda lalu di depan kedai kita dengan memegang sekeping coklat yang kebetulan dijual di kedai kita, adalah tidak masuk akal untuk kita mengheretnya ke mahkamah dan menyuruh si anak muda itu untuk membuktikan bahawa coklat yang dipegangnya itu tidak dicuri dari kedai kita.
Ini undang-undang mudah. Arwah Tan Sri Harun Hashim, apabila disoal tentang apa itu undang-undang dalam fahamnya, beliau menjawab bahawa undang-undang itu ‘common sense‘. Bukan setakat ‘common sense‘ dalam erti kata sesuatu yang ‘masuk akal’, bahkan mencakupi apa yang dipanggil ‘kesepakatan umum’.