Showing posts with label pos msia. Show all posts
Showing posts with label pos msia. Show all posts

22 April 2011

Syed Mokhtar kuasai Pos Malaysia

KUALA LUMPUR, 22 April — Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary mengembangkan empayar niaga beliau — hari ini diumumkan yang syarikatnya, DRB-Hicom Bhd berjaya dalam bidaan menguasai 32.2 peratus pegangan Khazanah Nasional di Pos Malaysia Berhad.
DRB Hicom dimiliki Syed Mokhtar (gambar) yang turut menguasai bisnes lain, antaranya perkhidmatan pelabuhan dan pengeluar tenaga bebas terbesar negara Malakoff Corp, pembekal beras nasional Bernas dan pengedaran gas melalui Gas Malaysia.
Syarikatnya MMC juga terlibat dalam projek MRT Lembah Klang dengan kerjasama Gamuda.
Dalam satu kenyataan media dikeluarkan petang ini, Pengarah Urusan Khazanah Tan Sri Azman Mokhtar berkata, DRB-Hicom dipilih berdasarkan keseluruhan bidaan, yang bukan sahaja menawarkan strategi niaga baik tetapi juga harga yang boleh diterima.
“Strategi dan pelan bisnes yang disyorkan menyediakan platform yang efektif bagi pertumbuhan Pos Malaysia jika diterima oleh Lembaga Pos secara keseluruhan,” katanya.
Laporan media sebelum ini menyebut tiga pembida telah disenarai pendek daripada 50 pembida yang mengemukakan bida bagi membeli kepentingan berkenaan.
Selain DRB-Hicom, turut disenarai pendek ialah Nationwide Express Courier Services Bhd dan konsortium usaha sama antara Amanah Reit dan Malaysia Pacific Corp.
Antara strategi dan pelan perniagaan DRB-Hicom yang dikemukakan DRB-Hicom ialah mewujudkan sinergi strategik antara bank Islam yang dikuasainya iaitu Bank Muamalat Malaysia Bhd dengan Pos Malaysia.
Bank Muamalat, bank Islam ketiga terbesar Malaysia dari segi aset, dikatakan mampu menjadi rakan sinergi terbaik bagi Pos Malaysia terutama dalam mengembangkan rangkaian produk serta perkhidmatan serta jangkauan capaian pelanggan masing-masing.
DRB-Hicom juga dikatakan berupaya memastikan Pos Malaysia meneruskan tanggungjawab Universal Service Obligations (USO), selain mengekalkan kakitangan sedia ada.
Pos Malaysia kini mempunyai lebih 1,000 cawangan di seluruh negara. Bank Muamalat pula ketika ini hanya mempunyai 56 cawangan. - TMI

01 June 2010

Sime Darby Pos Malaysia, pasai apa rugi?

Oleh FMT

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan memanggil pihak pengurusan Sime Darby Bhd dan Pos Malaysia Bhd bagi memberi penjelasan berhubung kerugian yang ditanggung oleh kedua-dua syarikat itu.

Pengerusinya Datuk Seri Mohamed Azmi Khalid berkata kedua-dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu dijangka dipanggil pada minggu kedua persidangan Parlimen yang dijadual bermula 7 Jun ini.

"Kita buat keputusan untuk panggil kedua-dua syarikat ini memandangkan isu ini mempunyai kepentingan awam," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Parlimen di sini hari ini.

Beliau berkata, "kita tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam kedua-dua syarikat ini. Tetapi memandangkan ia kes berprofil tinggi dan mendapat liputan meluas oleh media, jadi kita perlu panggil mereka untuk beri penjelasan."

Azmi juga tidak menolak kemungkinan akan memanggil pengurusan Khazanah Nasional Berhad berdasarkan penglibatannya dalam Pos Malaysia.

Sime Darby dilaporkan mengalami kerugian lebih RM1.6 bilion akibat daripada lebihan kos dalam projek kendaliannya, dan berikutan itu, Datuk Seri Ahmad Zubir Murshid, yang kontraknya sebagai Ketua Eksekutif Kumpulan sepatutnya berakhir pada 26 November ini, telah diminta bercuti.

Pos Malaysia pula terpaksa membuat peruntukan (kerugian) berjumlah RM257 juta untuk dua tahun kewangan yang lalu ekoran dari terhakisnya nilai saham dalam Transmile Group Bhd.

Ketika ditanya sama ada PAC bersetuju tindakan syarikat konglomerat (Sime Darby) mengarahkan Ahmad Zubir supaya bercuti, Azmi secara ringkas berkata "Itu bukan urusan kami. Kami belum merumuskan apa-apa, kami hanya ingin tahu fakta dan apa yang sedang berlaku dalam syarikat itu."

Azmi juga berkata jawatankuasa itu hampir selesai menyiapkan laporan berhubung projek landasan berkembar elektrik kereta api antara Rawang dan Ipoh yang menelan belanja hampir RM1.43 bilion, iaitu 32.9 peratus lebih tinggi daripada nilai kontrak asal.

Ia juga hampir menyiapkan laporan mengenai Syarikat Prasarana Negara Bhd (SPNB) berhubung prosedur pelupusan aset oleh syarikat tersebut termasuk rancangannya untuk melupuskan 1,139 unit badan bas yang tersadai di depot bas di Serendah dan Sungai Buaya - FMT

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive