KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan bertindak segera menarik balik semua produk al-Quran elektronik dan bercetak di pasaran yang tidak mendapat kelulusan untuk dipasarkan.
Pengerusi Majlis Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, berkata pemantauan pihaknya jelas mendapati wujud lambakan produk sedemikian secara berleluasa di pasaran seluruh negara sejak sekian lama seperti di kedai buku dan cenderamata termasuk dijual peniaga bukan Islam. Katanya, penerbitan al-Quran bercetak dan digital itu bebas dijual tanpa sebarang cetakan logo kelulusan dari pihak berwajib khususnya KDN sekali gus mengundang pertanyaan adakah produk itu dipantau rapi atau tiada kesilapan isi kandungannya. “PPIM cabar pihak yang mempertikaikan perkara ini (tiada lambakan dan semua produk dijual di pasaran mendapat kelulusan KDN) meninjau keadaan sebenarnya.
“Banyak bahan penerbitan agama khususnya kitab al-Quran dijual tanpa mendapat kelulusan atau mempunyai logo KDN, keadaan ini boleh mengancam keselamatan dan menjejas akidah umat Islam jika tidak dipantau dengan segera.