21 October 2008

KIT SIANG SELAR KENYATAAN PAK LAH - malaysiakini

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang menyelar Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berhubung kenyataannya bahawa Umno bukan parti 'pembuli' dalam Barisan Nasional(BN). "Di Perhimpunan Agung MCA Sabtu lalu, beliau telah menolak cadangan parti itu supaya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) disemak semula. "Beliau juga katakan bahawa kerajaan tidak ada perancangan untuk itu (semakan), jadi bagaimana beliau dakwa Umno bukan parti dominan atau pembuli dalam BN?" katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini semalam.

Tambahnya lagi jika konsep perkongsian kuasa yang diamalkan dikalangan parti komponen BN telus dan bukan sekadar cakap kosong, BN sepatutnya mempertimbangkan cadangan setiap parti komponennya. "Kerajaan seharusnya memberi perhatian serius mengenai resolusi yang dicapai dalam perhimpuan tahunan MCA dan Gerakan," katanya. Sabtu lalu Abdullah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan tidak mempunyai cadangan dalam tempoh terdekat untuk menyemak semula ISA bersesuaian dengan keadaan sekarang. Minggu lalu Gerakan juga mengeluarkan resolusi yang sama iaitu meminta agar ISA disemak semula. Dalam pada itu Lim juga mempersoalkan pendirian MCA dan Gerakan jika kedua-dua parti itu turut tidak menyokong usul mengenai ISA kerana perkara tersebut terkandung dalam resolusi perhimpunan tahunan mereka. "Jika mereka (MCA dan Gerakan) tidak sokong usul ini, apa gunanya resolusi yang dicapai dalam perhimpunan mereka itu?" katanya.

Lim membangkitkan isu ini bagi mengajak Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mahupun BN supaya sama-sama menyokong bagi meminta Perdana Menteri memberi pertimbangan agar usul yang dibawa oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok mengenai ISA diberi keutamaan. Menerusi aturan mesyuarat dan usul-usul yang terkandung dalam sesi perbahasan hari ini, usul Teresa mengenai ISA merupakan usul paling akhir iaitu di kedudukan ke 41. Menurut Lim lagi, jika proses undian dijalankan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN sama ada menyokong atau tidak agar ISA disemak semula, beliau percaya majoriti ahlinya akan menyokong untuk disemak. "Saya jangkakan keputusan yang akan diperolehi sama ada 12-1 atau 11-2 yang akan menyokong supaya ISA disemak," katanya. Beliau juga percaya majoriti 13 parti komponen BN akan menyokong agar semakan semula mengenai ISA perlu dilaksanakan. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive