13 October 2008

LAGI KECAMAM SHAH RUKH KHAN DIKURNIA DATUK

Oleh SITI AZIRA ABD. AZIZ

HULU KELANG: Pengerusi Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Datuk Mustapha Maarof menggesa pihak kerajaan negeri membuat penilaian yang sebaik mungkin apabila mengurniakan sesuatu anugerah agar ia dihormati.

Kenyataan ini dikeluarkan ekoran bantahan Seniman mewakili artis tanahair terhadap penganugerahan Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk kepada aktor Bollywood popular, Shah Rukh Khan sempena ulangtahun ke-70 Hari Jadi Yang DiPertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaakob pada Sabtu lalu.

"Ini hak mereka, kami tak larang mereka untuk beri anugerah itu, tapi kami harap ia diberi penilaian sebaik mungkin agar dihormati.

"Semalam dia tak datang upacara tersebut dan kami rasa macam satu penghinaan kepada rakyat Malaysia," katanya ketika sidang media bantahan Seniman di pejabat Finas kira-kira pukul 3.30 petang tadi.

Menurut Musthapa mereka patut bertanya kepada pihak yang bersesuaian seperti Finas mengenai kelayakan untuk memberikan anugerah kepada seseorang selebriti.


"Kami bukanlah terdesak dengan kementerian dan kerajaan negeri, tapi kami harapkan keadilan," katanya.

Beliau turut menyuarakan nama artis lain yang lebih layak menerima anugerah seperti Azean Irdawaty, M. Nasir, Kuswadinata dan Ruminah Sidek.

Menurutnya, Seniman akan menyerahkan surat bantahan kepada Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan (KPKKW)pada pukul 4 petang esok.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi Seniman, Ahmad Idham menambah, berita tersebut memberikan tamparan hebat kepadanya.

"Apabila saya melihat akhbar pagi Sabtu yang lalu, saya rasa macam kena tampar, apa ini?

"Saya macam badut atau kita macam main-main dalam industri hiburan ini. Kita selalu meuar-uarkan filem kita wajah kita, kalau nak kata bawa filem ke luar negara...filem saya pun bersepah dibawa ke luar negara" katanya.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive