31 October 2008

PAS: MERAWAT LUKA SEBELUM PARAH - malaysiakini

Oleh Zulkifli Sulong

OKT 31 — Selepas bertembungan pemikiran dan pandangan hampir setengah tahun berkaitan dengan kerajaan Pakatan Rakyat, akhirnya para pimpinan Pas bersatu dalam pandangan mereka. Tahniah kepada semua pihak yang memperkatakan perbezaan permikiran dan pandangan ini secara terbuka. Ia akhirnya diselesaikan oleh pucuk pimpinan Pas.
Ia berlaku dalam mesyuarat Lajnah (biro) Politik Pas yang bersidang selepas bercuti Hari Raya Aidil Fitri. Ia kemudiannya ditaklimatkan kepada semua pimpinan lain termasuklah Jawatankuasa Pas Pusat dan juga para wakil rakyat Pas sejurus selepas itu kata sepakat itu diperolehi.
Retreat Pas 7-9 November ini di Langkawi sepatutnya membincangkan perbezaan pendapat ini dan seterusnya merancang masa depan Pas. Namun, ia selesai sebelum masa retreat. Baguslah.
Harap-harapnya, selepas ini tidak ada lagi suara-suara sumbang dari mana-mana pihak dalam parti Islam itu. Saya yakin jika benar masing-masing bekerja untuk kepentingan Pas, suara-suara sumbang itu tidak akan timbul dalam mana-mana media dan mesyuarat parti lagi. Sama ada yang rasmi atau separa rasmi, semuanya diharap akan akur dengan keputusan kesepakatan ini. Jika tidak, pimpinan Pas kena bertindak untuk kepentingan masa depan parti mereka itu.
Secara peribadi, saya sendiri terlibat dalam hal ini. Setiausaha Politik Presiden Pas, Dr Shamsury telah menghantar satu tulisan memberikan jawapan dan hujjah balik terhadap satu berita yang disiarkan oleh Siasah berdasarkan kenyataan seorang pemimpin Pas. Namun kerana ia agak lewat dihantar, ia belum sempat disiarkan menjelang cuti Raya lalu. Namun, apabila ia mahu disiarkan, Dr Shamsury bertanya balik apakah ianya telah disiarkan. Apabila saya berkata belum, beliau cepat-cepat berkata,"Baguslah, kerana perkara ini telah diselesaikan dengan baik dalam mesyuarat Lajnah Politik semalam (12 Oktober). Jadi tidak perlu lagilah ia disiarkan".
"Baguslah," kata saya yang sememangnya keberatan untuk menyiarkan pertembungan pandangan dan pemikiran ini melalui media yang saya kendalikan iaitu Siasah. Jadi, tidak jadilah Siasah sebagai medan pertempuran idea ini.
Harapan saya juga sama kepada lain-lain media yang berkaitan. Janganlah jadikan media kita sebagai tempat untuk memecahkan tetapi jadilah media yang menyatukan. Sebab itulah apabila kami di Siasah menyiarkan satu fokus khas tentang pertembungan pendapat dan pemikiran ini, tujuan kami satu sahaja iaitu untuk menyatukan. Untuk tujuan ini, perbezaan ini perlu didedahkan dengan cara yang profesional tanpa menyakiti mana-mana pihak. Semoga dengannya, masing-masing mengambil berat hal ini, berbincang secara tulus dan seterusnya menyelesaikan perbezaan ini secara yang matang dan terbuka.
Alhamdulillah, selepas laporan Siasah itu (yang disiarkan menjelang cuti Raya), mesyuarat Lajnah Politik yang berikutnya (selepas Raya) membincangkannya secara serius dan menyelesaikan perbezaan ini.
Sebagaimana diketahui, Pas menghadapi satu tempoh kemelut yang panas di kalangan pimpinan selepas pilihan raya ke 12 lalu dalam menentukan halatujunya. Ia berkait rapat dengan rancangan untuk membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat pusat. Sebahagian pimpinan Pas mahu sepenuhnya bersama Pakatan dan sebahagian lagi tidak berapa senang dengannya. Hasilnya pimpinan Pas berpecah dua mengikut aliran pemikiran ini.
Masing-masing ada hujjah dan pandangan serta sandaran kepada hujjah mereka itu. Kedua-duanya menjadikan Al Quran dan Sunnah RasulNya sebagai sandaran. Yang membimbangkan dengan apa yang berlaku adalah hujjah-hujjah dan tuduhan-tudhan ekstrem yang dikemukakan. Yang pro Pakatan dikatakan menjadi 'alat' kepada pemimpin Pakatan iaitu Datuk Seri Anwar manakala yang menentangnya dikatakan mahu berkongsi kuasa dengan Umno.
Hasil dari dilema yang berlangsung hampir setengah tahun ini menyebabkan ramai pemimpin yang cedera ekoran krisis perbezaan pendapat dan pemikiran ini. Cedera ini adalah dalam ertikata mendapat pandangan serong dari sebahagian ahli yang berbeza pendapat dengan sesetengah pemimpin tertentu itu.
Kesannya adalah muktamar tahunan Pas tahun depan. Ini kerana, dalam muktamar ini nanti akan ada pemilihan pimpinan Pas. Dari presiden, timbalan, naib-naib serta AJK dan juga dewan-dewan dalam Pas.
Memang masanya masih panjang. Namun, jika masa yang ada ini tidak diambil kesempatan untuk memperbetulkan keadaan, ia akan menyukar sesetengah para pimpinan Pas ini. Adalah diharap, masa yang ada ini digunakan sepenuhnya untuk memperbetulkan keadaan dan tidak akan ada mana-mana pihak yang cedera dan tertinggal dalam saf kepimpinan Pas nanti.
Usaha-usaha ini perlu disokong oleh media-media milik parti Islam itu samada yang rasmi atau tidak. Semoga semuanya berjalan baik dan gandingan ulama, profesional dan teknokrat dalam Pas terus kekal dan menjadi faktor penguat kepada Pas dan Islam.
Bagaimanapun, luka-luka masih jelas kelihatan dan saya jangkakan ada yang bakal terkorban ekoran pertembungan pandangan dan pendapat itu.
Adalah diharapkan, para pemimpin berkenaan berbuat sesuatu menjelang muktamar akan datang. Jika tidak diberikan ubat dan dimakan antibiotik yang sesuai, luka ini bakal bernanah dan seterusnya bakal dipotong anggota badannya. Jika berlaku demikian, hilanglah sebahagian anggota dan bakal berlaku kecacatan kekal. Jadi berusahalah sebelum terlambat. -- TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive