02 October 2008

STAR LRT BERLANGGAR DI BUKIT JALIL - PENUMPANG TERPELANTING

KUALA LUMPUR: “Saya rasa seperti gempa bumi apabila gerabak yang kami naiki tiba-tiba bergegar kuat,” kata Ecco Abu Samat, 32, seorang daripada 300 penumpang dalam insiden pelanggaran yang membabitkan dua tren Transit Aliran Ringan (Star-LRT), petang semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 6.30 petang kira-kira 200 meter dari Stesen LRT Bukit Jalil di sini.Semua penumpang dalam kedua-dua tren terbabit dalam laluan sama terperangkap apabila sistem LRT berkenaan gagal berfungsi sejurus selepas kejadian.


Ecco, seorang warga Bangladesh, berkata ketika kejadian, dia berdiri dalam tren paling hadapan berhampiran ruang pemandu apabila ia tiba-tiba bergegar menyebabkan semua penumpang terpelanting jatuh hingga bertimpa satu sama lain.
“Keadaan menjadi kecoh dan saya dapat mendengar ramai penumpang menjerit meminta tolong...tidak kurang juga yang menangis sambil masing-masing berpaut pada tiang dan kerusi akibat ketakutan.

“Lebih menyedihkan apabila saya lihat seorang wanita sarat mengandung terpelanting akibat rempuhan kuat itu. Kami saling membantu sementara menunggu bantuan tiba,” katanya ketika ditemui sejurus selepas kejadian.
Mangsa turut mendakwa akibat gegaran kuat itu, dia melayang sebelum jatuh ke lantai tren terbabit.Difahamkan, pelanggaran berlaku apabila satu daripada tren itu melanggar belakang satu lagi tren.
Ketika kejadian kira-kira 300 penumpang berada dalam kedua-dua tren terbabit.Mengulas kejadian terbabit, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Ahmad Amir Mohd Hashim, berkata kejadian berlaku apabila satu tren dari arah Sungai Besi tiba-tiba berhenti 200 meter dari Stesen LRT Bukit Jalil, sebelum dirempuh satu lagi tren dari belakang dalam trek sama.
“Kira-kira 300 penumpang berada dalam kedua-dua tren ketika kejadian, namun semua penumpang berjaya dikeluarkan serta tiada kecederaan parah termasuk kedua-dua pemandu tren kecuali tiga wanita dan seorang lelaki mengalami cedera ringan.
“Punca kejadian kami sedang siasat. Kami akan ambil keterangan kedua-dua pemandu terbabit yang berusia dalam lingkungan 30-an untuk mengetahui punca sebenar kejadian,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, malam tadi.
Amir berkata, kira-kira 20 anggota polis bersama dua ambulans bergegas ke tempat kejadian sejurus menerima maklumat.Mereka bertungkus-lumus mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kedua-dua tren terbabit.
“Polis akan bekerjasama dengan RapidKL dalam menjalankan siasatan. Selain itu, kami akan mendapatkan bantuan Jabatan Kimia bagi memeriksa kawasan kejadian serta tren terbabit dalam kemalangan itu,” katanya.Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (RapidKL), Sufian Kamaruddin, berkata pihaknya menyiasat punca sebenar pelanggaran kedua-dua tren Star-LRT yang sarat penumpang itu.
“Kami menerima laporan berhubung kejadian itu beberapa minit sejurus selepas kemalangan...syukur kerana ia tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa dan hanya empat penumpang cedera ringan.“Dengan bantuan 20 anggota polis, petugas ambulans serta kakitangan kami, semua mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala penumpang lain dibenarkan pulang,” katanya.
Berikutan kejadian itu, perkhidmatan LRT di tiga stesen iaitu Sri Petaling, Sungai Besi serta Bukit Jalil terpaksa dihentikan sementara waktu bagi memberi laluan untuk kerja menyelamatkan mangsa dan menyiasat punca kemalangan.Sufian berkata, pihaknya akan memberikan maklumat terkini berhubung status operasi perkhidmatan itu dan berusaha memulihkannya agar dapat beroperasi seperti biasa pagi ini.
-myMetro

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive