15 November 2008

Batal "Kings of Tennis": PAC Pulau Pinang siasat MPPP


PULAU PINANG Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Pulau Pinang akan mengadakan inkuri untuk menyiasat implikasi kewangan yang ditanggung oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) berikutan pembatalan perlawanan antara jaguhjaguh tenis "Kings of Tennis" yang sepatutnya berlangsung semalam.
Pengerusinya, Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Datuk Keramat berkata, inkuiri tertutup itu akan diadakan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang.
Perlawanan itu dijadualkan berlangsung di Padang Kota Lama selama tiga hari.
"Inkuiri juga bertujuan menentukan sejauh mana kerosakan yang dialami pada padang berkenaan berikutan pembinaan gelanggang khas untuk perlawanan itu dan siapa yang bertanggungjawab untuk membaik pulih kerosakan itu," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.
Menurut Peraturan 109 A (4) Peratutan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, katanya, jawatankuasa itu mempunyai kuasa untuk memanggil mana-mana pegawai kerajaan negeri dan mendapatkan kertas atau rekod berkaitan perkara yang dibincangkan serta boleh juga memanggil pihak lain untuk memberi keterangan untuk memastikan sama ada ia melibatkan akauntabiliti terhadap kewangan.
"Jawatankuasa ini memandang serius perkara itu dan siasatan adalah bertujuan menentukan punca dan mengapa perlawanan yang dianjurkan pihak swasta itu dibatalkan," katanya.
Pada peringkat ini, sekurang-kurangnya tiga saksi akan dipanggil untuk memberi keterangan di hadapan jawatankuasa sembilan anggota inkuiri itu.
Jagdeep berkata, laporan siasatan itu akan dibentangkan kepada Dewan dan juga didedahkan kepada umum sebaik sahaja ia selesai dan jawatankuasa berkenaan juga boleh membuat cadangan terhadap bentuk tindakan yang boleh diambil kepada pihak terlibat dalam kes ini.
"Saya tidak boleh mendedahkan siapa saksi yang akan dipanggil tetapi pihak atau badan yang terlibat termasuk exco boleh dipanggil untuk memberi keterangan.
"Kita bimbang terhadap keadaan padang yang telah rosak berikutan pembinaan gelanggang tenis berkenaan dan tidak mahu wang pembayar cukai digunakan untuk membaik pulih kerosakan itu. Sebab itu kita adakan inkuiri ini," katanya.
Menurut laporan akhbar, kejohanan berprestij itu telah dibatalkan secara tiba-tiba apabila produser kejohanan di Sweeden enggan membenarkan para pemain mengambil bahagian berikutan penganjur tempatan didakwa gagal mengumpul dana yang mencukupi untuk perlawanan itu.
Acara itu sepatutnya disertai lagenda sukan tenis antaranya Pete Sampras, John McEnroe dan Bjorn Borg.
Semalam, penganjur acara itu, Arianna Teoh dilaporkan berkata beliau akan bertanggungjawab terhadap pembatalan acara itu. -- mStar

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive