24 November 2008

Perhimpunan mansuh ISA disuraikan, 7 penyokong ditahan - malaysiakini

Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSAIN
KUALA LUMPUR: Perhimpunan mansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Pakatan Rakyat yang diadakan di Dataran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) disuraikan atas arahan pihak polis.
Kira-kira tujuh orang penyokong parti itu ditahan gara-gara tidak mahu bersurai daripada perhimpunan berkenaan.
Terdahulu, pada 9:30 malam ketika Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu ketika berucap kepada penyokong yang hadir meminta mereka bersurai. Beliau dalam ucapannya berkata:
“Tetapi permit tidak dikeluarkan lebih kurang dua hari yang lalu.Maklumlah Malaysia masih lagi negara jakun. Perhimpunan aman masih memerlukan permit.”
Menurutnya, Pakatan Rakyat akan mengadakan satu lagi perhimpunan di Stadium Selayang namun tarikh tersebut akan diputuskan nanti.
“Kita akan buat satu himpunan besar di stadium Selayang. Tarikhnya akan kita hebahkannya melalui media massa dan akhbar-akhbar kita,” katanya.
Beliau yang juga dikenali sebagai Mat Sabu berkata menjelang bulan Mac tahun hadapan mereka berharap ISA akan dapat dimansuhkan.
Kata-kata beliau itu diikuti dengan laungan mansuhkan ISA, jahanam undang-undang jakun, jahanam undang-undang rimba, laungan tersebut diikuti dengan takbir “Allahuakbar” daripada penyokong yang hadir.
Sebaik sahaja selesai Mat Sabu berucap kira-kira 40 anggota polis anti-rusuhan (FRU) mula bertindak menyuraikan orang ramai.
Biarpun hujan turun dengan lebat penyokong-penyokong yang hadir enggan berganjak, sehingga tercetusnya pergaduhan di antara pihak polis dan penyokong pembangkang.
Pergaduhan yang tercetus menyebabkan anggota polis anti-rusuhan terpaksa mengambil tindakan tegas menahan penyokong yang masih berdegil.
Kejadian tolak-menolak di antara polis anti-rusuhan dan penyokong parti pembangkang berlaku kira-kira 5 minit.
Pada ketika inilah kira-kira tujuh orang penyokong ditahan oleh anggota polis anti-rusuhan.
Difahamkan mereka dibawa ke Balai Polis Ampang untuk disoal siasat.
Dianggarkan kira-kira 100 penyokong hadir pada perhimpunan berkenaan.
Menurut Setiausaha Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), E. Nalini, tiga daripada mereka yang ditahan itu ialah Ketua Unit Amal PAS Wilayah Persekutuan (WP), Saifuddin Abdullah, Ketua Pemuda PAS WP, Kamaruzzaman Mohamad dan Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamdan.
Kempen tersebut dianjurkan oleh GMI dan dijadual dilancarkan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Turut hadir dalam perhimpunan berkenaan adalah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kubang Kerian, Salahuddin Ayub.
Perhimpunan disuraikan sepenuhnya kira-kira jam 11 malam.
Sebelum itu, bermula jam 7:30 malam polis mula mengadakan sekatan di Jalan Pandan Indah menuju ke padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).
Sementara itu, di kawasan Dataran MPAJ kelihatan empat trak polis serta sebuah van polis bergerak diletakkan di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Ketua Umum PKR, Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang tidak hadir ke perhimpunan berkenaan.
Perkara tersebut disahkan oleh Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat, Tian Chua.
Beliau yang dihubungi oleh mStar Online sebentar tadi mengesahkan perkara tersebut.
“Memang betul Datuk Seri (Anwar) dan yang lain-lain tidak dapat hadir, mereka sudah bersiap mahu ke tempat ceramah tapi pada saat-saat akhir mereka telah dimaklumkan oleh penganjur, polis mahu suraikan perhimpunan ini. Jadi mereka tidak dapat hadir,” katanya kepada mStar Onlinehari ini.
Beliau turut mengutuk tindakan polis menaan penyokong yang hadir dan meyifatkannya sebagai tindakan yang tidak wajar.
“Kenapa perlu tahan mereka (penyokong)?. Mereka tidak buat apa-apa pun. Kenapa polis perlu bertindak kasar terhadap mereka? Tindakan mereka (polis) ini langsung tidak masuk akal,” katanya.
Menurutnya, pihak polis tidak bersikap adil dan pilih kasih kerana dalam satu ceramah berkenaan ISA yang diadakan oleh Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) pihak polis tidak langsung bertindak menyuraikan perhimpunan berkenaan.
“Kenapa perlu bersikap pilih kasih dalam hal ini. Mereka (Pewaris) juga adakan ceramah sentuh tentang ISA. Tapi mereka tidak ditahan, polis hanya memantau sahaja perjalanan ceramah tersebut, ini satu perkara yang sangat tidak adil,” katanya.
Ditanya apakah PKR akan mengambil tindakan untuk membawa isu tersebut ke peringkat yang lebih tinggi, Tian Chua berkata:
“Setakat ini apa yang boleh dikatakan, kami mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan mereka menahan penyokong kami dan tidak membenarkan ceramah secara aman diadakan.
“Masalah ini sangat serius, tindakan selanjutnya mungkin kami akan bincangkan dalam mesyuarat parti yang akan datang,” ujarnya.
Jumaat lalu, polis menolak permohonan pihak penganjur untuk mendapatkan permit untuk mengadakan perhimpunan malam ini. -- mStar Online

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive