KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tidak bimbang jika Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali meletakkan jawatan, malah mencabarnya menguji kekuatan pengaruh politik dengan bertanding atas tiket Bebas dalam pilihan raya kecil.
Nik Aziz yakin Ibrahim tidak akan memperoleh kemenangan atau majoriti sebesar majoriti yang diperoleh dalam pilihan raya umum Mac tahun lalu jika tidak kerana sokongan daripada anggota PAS.
Pesuruhjaya PAS negeri itu berkata: "Keputusan PAS mencabar beliau (Ibrahim) supaya meletakkan jawatan kerana mengkritik PAS daripada belakang adalah keputusan PAS negeri yang dibuat dalam mesyuarat perhubungan negeri yang saya sendiri selaku Pengerusi (perhubungan)."
"PAS tidak bimbang jika Ibrahim letak jawatan dan bertanding semula atas tiket Bebas jika benar-benar ingin menguji kekuatan pengaruhnya dalam politik kerusi Parlimen itu jika ia mahu menyahut cabaran PAS supaya meletakkan jawatan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Pulau Melaka, di sini hari ini.
Pagi ini ketika ditemui pemberita selepas merasmikan kursus kakitangan awam kerajaan negeri, Nik Aziz enggan memberikan sebarang ulasan mengenai desakan PAS Kelantan yang mahukan Ibrahim meletak jawatan.
"Tok se, tok se (tak nak, tak nak)," kata Menteri Besar Kelantan itu.
Semalam, Setiausaha Badan Perhubungan PAS, Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PAS Kelantan meminta Ibrahim meletak jawatan sebagai wakil rakyat berikutan tindakannya yang kebelakangan ini sering mengkritik PAS.
Takiyuddin menyifatkan kelantangan Ibrahim itu sebagai tidak mengenang budi sedangkan anggota Parlimen Bebas itu diberi peluang bertanding atas tiket PAS pada pilihan raya umum 2008.
Dalam reaksi spontan semalam, Ibrahim berkata, beliau tidak akan meletakkan jawatan kecuali diminta berbuat demikian oleh pengundi di kawasannya.
Ibrahim, 57, digugurkan dari jawatan Ketua Umno Pasir Mas pada 22 November 2003 dan kemudian digantung keanggotaannya dalam Umno seumur hidup kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihan raya umum ke-11, Mei 2004.
Ibrahim bagaimanapun tewas kepada calon PAS, Ismail Noh.
Ibrahim turut hilang wang pertaruhan selepas mendapat 415 undi semasa pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri Pangkalan Pasir pada 2005 yang dimenangi oleh calon Barisan Nasional, Hanafi Mamat.
Ditanya mengapa PAS bertindak mencabar Anggota Parlimen itu meletakkan jawatan, Nik Aziz berkata, ini disebabkan Ibrahim mengkritik kepimpinan PAS dari belakang.
Nik Aziz berkata, walaupun Ibrahim calon Bebas, tetapi bukan bererti beliau boleh bebas tanpa sekatan.
"Kalau lembu pun kita kena ikat dengan tali, mana boleh manusia bebas tanpa sekatan.
"Sebagai pemimpin, Ibrahim tidak boleh mengkritik dan menyerang PAS dan pemimpinnya bukan-bukan.
"Ini bukan bererti PAS tidak boleh ditegur. Yang berhak mengkritik dan menegur (pemimpin dan parti) ialah rakyat," katanya.
Kepada soalan lain, jika Ibrahim enggan berundur dan meletakkan jawatan walaupun dicabar berbuat demikian oleh PAS, Nik Aziz berkata: "Memanglah, biasanya manusia tidak mudah mengaku kalah. Macamlah kita jadi menantu, kalau mentua bencipun kita tetap tinggal rumah itu kerana sayangkan anaknya..." BERNAMA
4 comments:
Orang ni kan berdarah AMNO,seperti biasalah menjadi pengkhianat kepada rakyat.Suruh dia letak jawatan.Rakyat tak mahu tengok muka dia.Semua sandiwara ini adalah untuk masuk balik AMNO dan berjoget dengan gang dia.
salam sahabat, I.A ni pernah bertanding calon bebas tapi dia tak dapat sokongan rakyat, bila pada PRU12 I.A bertanding atas tiket PAS dan berjaya, dari sini kita boleh membuat kesimpulan bahawa I.A tiada pengaruh dalam politik dan beliau banyak bergantung kepada parti yg ditandinginya.
Itulah dia sifat KATAK.tetap yakin kalau beliau bertanding sekali lagi atas tiket BEBAS pasti wang depositnya hilang.Bekas macai Umno tak boleh ubah perangai.
Ayoh, saudara PAS !!
Kite mula kempen dan ceramah skg jugak di pasir mas
terangkan kpd rakyat ttg katak ini
yg air liurnya dah mula meleleh
melihat hee,osman dan jamal jd jutawan
dah tak sabar nak jadi jutawan juga
mula ampu amno-bn, dah
kita tumbangkan dia !
lawan tetap lawan !!
Post a Comment