Selepas UBN mengalami kekalahan teruk dalam PRU ke 12, PRK Permatang Pauh dan PRK Kuala Terengganu, Tun Abdullah Badawi (Pak Lah) dijadikan kambing hitam untuk menutup segala kelemahan UBN. Antara yang paling lantang meminta Pak Lah berundur lebih awal adalah Muhyiddin (Tan Sri) dan Mahathir (Tun). Biarpun Pak Lah boleh mengambil tindakan tegas terhadap Muhyiddin dan Mahathir sepertimana yang biasa dilakukan oleh Mahathir ketika bergelar Perdana Menteri ke 4, namun Pak Lah mengambil sikap berlembut dan membiarkan sahaja rakan-rakan dan seteru politiknya mengkritik dan memalukan beliau.
Hari ini, setelah 4 hari Pak Lah melepaskan tanggungjawabnya kepada Najib (Datuk Seri), UBN masih lagi gagal menambat hati pengundi di Semenanjung Malaysia. Entah kenapa, pengundi masih lagi menolak UBN biarpun jentera UBN kali ini diterajui oleh Muhyiddin sambil dibantu oleh Mahathir yang dahulunya seolah-olah sudah mengetahui ubat yang paling mujarab untuk merawat ‘penyakit’ UBN.
Jika benar pengundi menolak UBN dahulu kerana ‘kelemahan’ Pak Lah, kenapa UBN masih lagi kalah di Semenanjung? Dimanakah kekuatan dan kredibiliti Muhyiddin yang dahulu begitu pandai mengkritik Pak Lah? Jika benar Muhyiddin lebih hebat dari Pak Lah, beliau sekurang-kurangnya mampu mengurangkan majoriti yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat. Pada saya, Najib dan Muhyiddin tidak ada “faktor WOW” yang sangat diperlukan oleh UBN pada waktu ini, khususnya di Semenanjung Malaysia. Ketika Pak Lah mengambil-alih jawatan PM dari Mahathir, Pak Lah memiliki “faktor WOW” itu sehingga mampu mengembalikan keyakinan pengundi kepada UBN yang jelas tergugat sewaktu PRU tahun 1999.
Kekalahan besar UBN pada pilihanraya 2008 dikatakan berpunca daripada kegagalan Pak Lah membersihkan UBN daripada sistem dan barisan kepimpinan yang sudah tercemar serta kelemahan beliau dalam mengagihkan kek ekonomi yang lebih adil kepada setiap rakyat Malaysia. Jika Pak Lah mampu melakukan perubahan itu, tidak mustahil UBN akan terus bertahta di hati rakyat Malaysia.
Menurut pendapat seorang penganalisis politik yang dibayar oleh TV1 malam tadi, pengundi di Batang Ai memang bijak kerana memilih BN untuk mewakili mereka. Jika mahu diperincikan hujah penganalisis itu, ertinya pengundi di Bukit Gantang dan Bukit Selambau adalah pengundi yang bodoh kerana termakan hasutan pembangkang. Jelas sekali, hujah penganalisis itu telah memperbodohkan audien dan jika RTM berterusan mengambil penganalisis seperti itu, ianya akan menyukarkan lagi kerja UBN untuk memenangi hati pengundi. Ini kerana, perubahan yang dituntut oleh pengundi bukan sahaja berkisar tentang pemimpin tertinggi negara atau sistem penyampaian kerajaan, malah ianya juga melibatkan perkara kecil seperti intipati setiap rancangan RTM mahupun saluran media perdana yang lain.
Kata penganalisis itu lagi, kekalahan UBN di Bkt. Gantang dan Bkt. Selambau berpunca daripada taktik pembangkang yang menyerang peribadi calon BN sehingga berjaya mempengaruhi sentimen dan emosi pengundi. Kali ini, hujah penganalisis itu benar-benar menyentuh titik ketawa saya. Adakah beliau sudah lupa yang UBN juga menggunakan taktik yang sama? Jika tidak, kenapa video lama Anwar ditayangkan kembali, kenapa berita SPRM menyiasat Fairuz & Guan Eng dijadikan berita utama dan kenapa Nizar digambarkan sebagai penderhaka? Persoalan sebenar yang patut dihurai oleh penganalisis itu ialah kenapa pengundi lebih termakan umpan PR dan bukannya umpan UBN, padahal liputan media UBN lebih luas daripada media PR?
Apapun, saya bersetuju dengan pendapat penganalisis itu yang menyatakan, para pengundi masih belum dapat melihat pembaharuan yang mahu dilakukan oleh Najib kerana Najib baru beberapa hari berkuasa. Corak pengundian mungkin boleh berubah di masa hadapan. Buat masa ini, Najib tentunya sedang rasa apa yang sudah Pak Lah rasa.Dan yang paling menyeronokkan, Pak Lah sudah boleh bersara dengan selesa, manakala Mahathir terpaksa kembali bekerja untuk memenangkan pilihannya. -- Nur Aflah
No comments:
Post a Comment