24 May 2009

Suami "jual" isteri

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT IBRAHIM

Murni pernah menjadi pelacur, mengedar dan menagih dadah, ahli kumpulan kongsi gelap dan orang tengah membawa PATI ke negara ini sehingga dia digelar mayat tidak berguna.
BENTUK badan Murni masih menarik walaupun sudah berumur 51 tahun. Namun penghuni pusat pemulihan masalah sosial, Rumah Sinar Salam di Chow Kit, Kuala Lumpur ini belum dapat melupakan kenangan zaman gelapnya dahulu yang penuh dengan dosa dan noda.
Dia pernah menjadi pelacur, penagih dan pengedar dadah malah ahli kumpulan kongsi gelap. Dia juga menjadi orang tengah membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara ini dengan bayaran RM5,000 untuk setiap PATI.
Kedegilan sejak kecil menjadi punca dia terjebak dengan semua kegiatan tidak bermoral itu.“Saya nakal dan degil sejak kecil lagi. Mungkin disebabkan itu, ibu tidak pernah mempedulikan saya kecuali bapa.
“Malah saya tidak mahir menulis dan membaca kerana tidak bersekolah sehingga sukar untuk mendapatkan pekerjaan kini. Tetapi tidak mengapalah, rezeki di mana-mana,” katanya yang bekerja sebagai pencuci di sebuah pusat beli-belah.
Dia yang berasal dari Negeri Sembilan berkahwin pada usia 17 tahun namun hanya sempat melayari kehidupan berumah tangga selama dua tahun kerana tidak disukai keluarga mertua.Murni mempunyai seorang anak lelaki hasil daripada perkahwinan pertama.
Pernikahan kedua menjadi neraka baginya.Disebabkan kecewa mahligai perkahwinan yang dibina runtuh lagi, Murni mengambil keputusan berhijrah ke Klang, Selangor dan menampung kehidupan seharian bekerja sebagai pembantu di sebuah kedai makanan.
Di situ, dia berkenalan dengan Razali dan terus mengambil keputusan berkahwin walaupun perkenalan mereka tidak sampai sebulan.“Razali cukup pandai mengambil hati. Dia perwatakan menarik dan pandai menggoda menyebabkan saya terpikat hingga saya berkahwin dengannya.
“Mulanya, Razali seorang yang baik dan penyayang tetapi satu hari dia meminta saya berhenti kerja sebagai pembantu kedai dan beralih kepada pekerjaan yang lebih lumayan pendapatannya.“Saya dibawa ke sebuah hotel dan diminta melacur. Tentunya saya enggan tetapi dipaksa melakukannya. Jika enggan teruk dipukul dan ditampar. Sejak itu bermulalah kehidupan saya sebagai pelacur.
“Dia juga mengajar saya minum arak dan menghisap dadah. Bayangkan saya dipaksa melacur ketika sedang sarat mengandung empat bulan. Ada pelanggan baik hati tidak melakukannya kerana kasihan tetapi kebanyakannya cukup kejam,” katanya sambil air matanya membasah pipinya.
Lari ke Johor“Saya tidak tahan kerana terus diperlakukan sedemikian. Malah telah merata Semenanjung Malaysia ini saya pergi untuk melacur. Jika ingin lari, tapak kaki akan singgah di pipi ini.
“Malah dalam sehari saya pernah dilanggan 10 orang pelanggan. Tidak tahan saya memohon bantuan daripada seorang polis untuk lari ke Johor.“Saya disembunyikan di sebuah rumah India sebelum menaiki kereta api ke Johor.
Nasib baik terlepas, jika tidak saya mungkin telah dibunuh oleh suami,” ujarnya.Tetapi kerana kebiasaan dan mudah mendapatkan wang menyebabkan Murni kembali terlibat dengan perbuatan tidak bermoral itu.“Mulanya saya kembali bekerja di kedai makan tetapi berapa sangatlah pendapatan yang diperoleh. Saya kembali menjadi pelacur. Perwatakan juga berubah menjadi seorang tomboi.
“Keluarga sendiri tidak peduli. Malah saya bergerak lebih jauh lagi dengan mengedar dan menghisap dadah, menjadi ahli kongsi gelap serta orang tengah membawa PATI ke negara ini.“Bukan sukar, kenalan kita ramai. Dengan perbualan telefon dan kita tentukan masa semua boleh jalan. Lumayan, seorang PATI boleh dapat RM5,000.
“Saya juga tidak pernah ditangkap oleh pihak berkuasa kerana tiada bukti. Tetapi menggelar saya mayat hidup kerana tidak berguna dan sering mendatangkan masalah,” ujar Murni.
Murni cuba untuk berubah namun beliau sering tersilap langkah memilih suami untuk kembali kepada jalan yang benar.“Setelah sekian lama terlibat dengan noda dan dosa saya ingin kembali insaf. Saya menerima pelawaan seorang pemandu teksi untuk menjadi isterinya.“Namun saya sangkakan panas hingga ke petang tetapi hujan di tengah hari.
Suami ketiga baik dan alim tetapi terlalu cemburu. Saya tidak dibenarkan bersembang sekali pun dengan jiran.“Saya terkurung di rumah. Sekadar memandang lelaki pun saya akan teruk dibelasah. Malah saya pernah dipukul di sebuah kedai makan kerana sifat cemburunya itu,” katanya kesal.Kahwin dan cerai ekspres“Kemudian saya bercerai dengannya. Tidak lama selepas itu saya kahwin lagi dengan rakan sekampung. Tetapi dia sangat pemalas dan tidak mahu bekerja.
“Saya menampung makan dan minum, dua kotak rokoknya sehari dan anak-anak. Kalau tidak dapat, makian dan sepak terajang diterima.“Menghilangkan bosan, saya pergi seorang ke kedai arak dan minum sepuasnya. Saya juga mula mengedar pil khayal di kelab. Ini semua kerana lelaki tidak berguna itu sehingga saya meminta cerai,” katanya.
Namun semuanya berubah selepas dia menemui seorang pekerja keselamatan yang benar-benar ikhlas di Chow Kit sendiri.“Malah dia membenarkan saya tinggal di rumahnya dan memberi wang belanja seharian cuma saya tidak berkahwin dengannya.
“Dia sering menasihati saya supaya berubah dan meninggalkan kegiatan lama, serta meminta saya solat dan banyak ke surau untuk menambah ilmu pengetahuan agama.“Memang sukar untuk berubah tetapi saya perlu tekad. Apa gunanya saya menjadi pelacur selamanya kerana impian diri ini ingin hidup normal seperti insan lain,” katanya yakin -- Kosmo

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive