22 June 2009

UMNO tak layak nak nasihat PAS

Oleh Mohd Zuharman

KOTA BHARU, 21 Jun — Pemuda Umno Kelantan dinasihat agar tidak mencuri kesempatan mengejar politik murahan mencampuri urusan dalaman Pas atau Pakatan Rakyat (PR) sebelum gejala korupsi dan penyalahgunaan kuasa partinya belum berjaya dibersihkan.

Naib Ketua Pemuda PAS Kelantan, Hisham Fauzi, berkata PAS mempunyai mekanisme tersendiri dalam usaha menyelesaikan segala isu berbangkit tidak akan tunduk pada nasihat Pemuda Umno berunsurkan politik dan tidak lebih daripada nasihat “tikus yang mendakwa arif membaiki labu”.

Beliau menyaran, adalah lebih baik Pemuda Umno memberi tumpuan lebih kepada usaha membersihkan gejala rasuah, korupsi, salah guna kuasa dalam partinya terlebih dahulu yang sebelum ini mengundang kebencian ramai rakyat.

“Pemuda Umno tidak layak menasihati PAS. Lebih baik mereka beri tumpuan kearah bagaimana hendak membersihkan imej buruk Umno yang berleluasa dengan gejala rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya,” katanya.

Sehubungan itu Hisham turut mempelawa Ketua Pemuda Umno Kelantan, Anuar Safian, meletakkan jawatan disandangnya kemudian meninggalkan fahaman sekular Umno menyertai PAS jika begitu berminat dengan politik dalaman PAS.

Menurut Hisham juga, sejak Anuar mengambil alih tampuk kepimpinan pemuda Umno Kelantan tiada sebarang usaha konkrit dilakukan bagi membantu nasib bumiputera Islam berbanding pemuda PAS sentiasa aktif memperbaiki status hidup golongan belia Kelantan melalui pelbagai mekanisme diusahakan.

Hisham berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anuar yang mencadangkan supaya PAS meninggalkan PR berikutan pelbagai tekanan yang diterima Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam isu kerajaan perpaduan.

Anuar beranggapan, adalah lebih baik PAS bersama Umno memperjuangkan hak dan kepentingan Melayu serta umat Islam dari terus bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat.

Justeru Abdul Hadi sebagai presiden parti orang Melayu kedua terbesar harus bertegas tidak mengaku kalah menghadapi segala kecaman. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive