Nur Azlin Mohamed Yasin meluangkan masa beberapa jam sehari untuk melayari Internet. Namun, dia bukan tipikal anak muda yang ingin mencari maklumat di dunia maya tersebut.
Penganalisis penyelidikan berusia 24 tahun itu sentiasa melayari Internet untuk membaca panduan menghasilkan bom dan klip-klip video militan Islam yang sedang berlatih. Selain itu, dia menonton perbualan para pejuang ekstremis yang mungkin menjadi isyarat untuk melakukan serangan di sesuatu lokasi.
Daripada komputernya, dia memasuki satu dunia di mana golongan muda beragama Islam secara terbuka dan sukarela menawarkan diri untuk memerangi askar-askar gabungan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan. Mungkin juga, dia mempelajari cara-cara membuat bahan letupan daripada barang-barang harian.
Di sinilah ketua rangkaian pengganas al-Qaeda, Osama bin Laden mendapat penghormatan. Poster-poster tiga pengebom berani mati yang terlibat dalam tragedi pengeboman Bali pada tahun 2002 turut dipaparkan. Paparan wajah pengebom yang telah dikenakan hukuman mati itu merupakan elemen tarikan kepada 'ahli-ahli' baru al-Qaeda.
"Semua perkara ini membimbangkan," kata gadis tersebut dalam satu temu bual AFP. Dia merujuk kepada trend penyebaran idea-idea radikal dalam talian oleh segelintir individu.
Nur Azlin merupakan salah seorang daripada lima penganalisis penyelidikan di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Singapura. Tugasnya adalah memantau laman sesawang pengganas setiap hari untuk memahami sentimen kebencian yang kian meningkat, demi usaha menentang keganasan. -- seterusnya
No comments:
Post a Comment