OKT 23 — Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. Malah kalau bertuah awal pun, kadang-kadang tuah itu hanya sebesar bukit sedangkan celaka yang datang pula sebesar gunung.
Sebelum pilihan raya umum 2008, ramai yang yakin dengan kemampuan parti-parti pembangkang untuk menambah kerusi Parlimen berikutan kelemahan pentadbiran kerajaan Tun Abdullah Ahmad Badawi. Mungkin tak banyak tapi pasti bertambah kerusi.
Dengan hanya mempunyai 20 kerusi Parlimen (tidak termasuk satu bebas pro-Barisan Nasional) yang dimenangi pada 2004, ramai yang berharap pembangkang dapat menggandakan kerusi, atau setidak-tidaknya menambah 10 lagi. Pada masa itu BN menguasai 198 daripada 291 kerusi, atau 90.4 peratus.
Parti-parti yang dijangka dapat meraih sokongan tinggi adalah DAP dan PAS yang masing-masing mempunyai 12 dan tujuh kerusi Parlimen. Tidak ramai yang yakin dengan kemampuan Parti Keadilan Rakyat yang hanya ada kerusi tunggal di Permatang Pauh. Yang kesian kepada PKR pun hanya berani mempertaruhkan parti itu mencapai tidak lebih lima kerusi.
Apa yang berlaku pada 8 Mac 2008 sudah banyak dicatatkan dan dibukukan. PKR menjadi parti pembangkang paling besar dengan 31 kerusi diikuti DAP 28 dan PAS 23 (di mana satu kerusi PAS dimiliki calon ketuanan Melayu yang pro-Umno).
Semua orang sudah tahu yang BN telah hilang majoriti dua pertiga Parlimen dan kalah di lima negeri (dan kemudiannya Perak dirampas BN melalui lompatan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR dan DAP menjadi “bebas pro-BN”). Keputusan itu bukan sahaja mengejutkan BN dan pembangkang, malah para pengundi sendiri tidak menyangka undi protes mereka untuk “mengajar” BN telah memberi kesan hebat kepada pembangkang.
Pucuk pimpinan BN, khususnya Umno, terduduk tergamam dengan keputusan itu. Sebaliknya pembangkang yang waktu itu sedang gembira ria memperkenalkan semula diri mereka sebagai Pakatan Rakyat. Lima negeri Pakatan mula menunjukkan yang mereka juga mampu mentabdir walaupun dicemuh hebat oleh pembangkang Umno di negeri masing-masing. Umno yang kucar-kacir menjadi lebih rasis pula.
Kini sudah lebih setahun setengah sorakan kemenangan berlalu. Pemimpin dan ahli Umno yang tergamam dan celupar sebelum ini semakin kelihatan agak tersusun gerakan mereka. Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri sedikit-sebanyak mula yakin dengan tindak-tanduk politiknya. - seterusnya
No comments:
Post a Comment