24 November 2009

"Saya meletak jawatan bukan bermakna saya bersalah" : Ariffahmi

Isu menantu Nik Aziz ibarat luka perlu diubati segera

PETALING JAYA, Nov 24 — “Saya tak gembira, tapi saya bersyukur perkara ini sudah selesai.” Demikian kata blogger Kickdefella, Syed Azidi Syed Abdul Aziz yang mengulas perkembangan terbaru di Kelantan.

Semalam Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan, Abdul Ariffahmi Abdul Rahman yang juga menantu Menteri Besar Kelantan akur dengan tekanan untuk meletakkan jawatan beliau itu yang menjadi pertikaian banyak pihak sejak awal bulan ini.

Peletakkan jawatan tersebut dibuat sebagai respons kepada hasrat Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan.

Syed Azidi yang dipecat daripada jawatan itu baru-baru ini oleh Ariffahmi berkata, “saya sedih sebenarnya kerana ia mengambil masa yang lama.... hampir 10 hari untuk selesai.”

“Tapi saya bersyukur kerana akhirnya Nik Aziz sedar juga,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

Semalam, Ariffahmi yang kini disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, memberitahu The Malaysian Insider bahawa keputusan beliau untuk bersetuju meletakkan jawatannya bukan bermakna beliau bersalah.

“Segala fitnah yang dilontarkan kepada saya itu tetap saya nafikan. Hanya masa yang akan menentukan.

“Saya berundur kerana akur dengan keputusan Tuan Guru, atas rasa sayang dan hormat saya kepada dia dan untuk menjaga imejnya dan juga imej kerajaan negeri. Saya akan menghantar surat perletakan jawatan saya secepat mungkin,” kata Ariffahmi lagi.

Ariffahmi mengumumkan pendiriannya ekoran keputusan dicapai oleh Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS sejurus selepas mengadakan mesyuarat tertutup dengan beberapa pimpinan PAS pusat termasuk Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden Salahuddin Ayub dan Bendahari Dr. Mohd Hatta Ramli.

Dalam ulasannya hari ini, Syed Azidi menambah, penyelesaian isu tersebut juga menunjukkan tiada pihak yang menang dan tiada yang kalah, dan pada masa yang sama ia juga tidak “menguntungkan” sesiapa pun dalam PAS.

“Saya rasa tiada pihak yang menang atau yang kalah sama ada saya, Tuan Guru Nik Aziz, Ariffahmi, PAS dan kerajaan Kelantan sendiri,” katanya.

Ketika ditanya sama ada isu ini melemahkan kedudukan Nik Aziz sebagai ketua pentadbiran kerajaan negeri, Syed Azidi yang dilihat sebagai orang kanan Exco Kerajaan Negeri Datuk Husam Musa berkata, kedudukan Nik Aziz dalam PAS tidak terjejas.

“... di kaca mata rakyat, Nik Aziz dilihat sebagai manusia biasa yang tidak dapat elak daripada melakukan kesilapan,” katanya lagi.

Nik Aziz menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan sejak 1990.

Bagaimanapun beliau mengakui bahawa dalam kebanyakan keputusan yang dibuat, Nik Aziz “banyak dikaburi oleh menantu beliau.”

“Isu ini membawa satu pengajaran bahawa penjawat jawatan awam tidak harus melantik ahli keluarganya untuk menerajui mana-mana pentadbiran... dalam kes ini Tuan Guru, yang melibatkan diri beliau sebagai ketua kerajaan negeri, menghadapi detik-detik yang sukar untuk membuat keputusan disebabkan kedudukan menantu, anak dan sebagainya. Dan, saya berharap ia tidak diulangi oleh sesiapa pada masa-masa akan datang,” kata Syed Azidi lagi.
Justeru Syed Azidi memberitahu, implikasi isu semasa ini perlu ditangani dengan segera bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Saya tak gembira. Ini Satu luka yang perlu diubati dengan baik supaya tidak meninggalkan parut dalam pilihan raya akan datang,” katanya lagi. - The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive