KUANTAN, Nov 2 – Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan Tantawi kesal kerana Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) sewenang-wenangnya menggunakan kuasa untuk menahan ahli agama dan ulama atas alasan ketiadaan tauliah untuk mengajar.
Mengulas penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Asri Zainul Abidin di ibu negara malam tadi, Nasrudin percaya kemungkinan wujudnya tindakan sabotaj dari unsur-unsur sekitar JAIS terhadap kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat dan Exco Agama khususnya.
Jawatankuasa Agama Selangor diterajui oleh Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Dr Hasan Ali.
Oleh itu tegur Nasrudin, JAIS boleh memanggil tokoh-tokoh yang diakui berkelayakan dan diiktiraf seperti Asri untuk ditemu duga bagi tujuan pengtauliahan, jika itulah prosedurnya, bukan dengan cara menghalang ilmuan-ilmuan Islam dari berbakti secara jujur kepada masyarakat.
Walaupun mengakui yang wujud banyak perbezaan pendekatan antara beliau dan Asri, Nasrudin masih menerima pandangan Dr. Asri tetapi dalam lingkaran perbahasan yang dibenarkan.
Nasrudin juga menerima penegasan Asri yang beliau bukan seorang penganut faham wahabi.
Tegas Nasrudin, JAIS memang wajar bertindak jika Asri telah menyampaikan ajaran agama yang salah dan sesat.
Oleh itu katanya, jika hanya berdasarkan masalah ketiadaan tauliah atau tuduhan wahabi yang tidak dapat dibuktikan, tindakan JAIS malam tadi adalah keterlaluan.
Nasrudin juga hairan dengan penahanan malam tadi kerana selepas Kerajaan Selangor diambil alih oleh Pakatan Rakyat, kebebasan para penceramah dan pendakwah agama sudah banyak berubah berbanding sebelum Mac 2008.
Bahkan, katanya, beliau sendiri pernah dihubungi JAIS yang telah menjemput beliau agar menghadiri sesi temu duga bagi mendapatkan tauliah.
Oleh itu, Nasrudin nyata tidak dapat menyembunyikan kegusaran betapa kemungkinan wujud tindakan sabotaj dari unsur-unsur sekitar JAIS terhadap kerajaan negeri dan Exco Agama negeri. - TMI
1 comment:
tak lama lagi di tuduh umno pulak yg lakukan konspirasi tersebut
Post a Comment