oleh Manja Ismail @ Berita Harian
DIS 21 — Pada Disember 10 tahun lalu, Perdana Menteri ketika itu Datuk Seri (kini Tun) Dr Mahathir Mohamad pernah membayangkan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) yang sering ponteng menghadiri sidang Dewan Rakyat akan digugurkan sebagai calon pilihan raya umum. Dr Mahathir terpaksa mengeluarkan amaran itu kerana walaupun kebanyakan Ahli Parlimen BN baru menjadi wakil rakyat selepas menang Pilihan Raya Umum 1999, mereka sudah pandai ponteng menyebabkan ada ketikanya sidang terpaksa dihentikan kerana tidak cukup korum.
Kesan amaran Dr Mahathir itu, kehadiran ahli Parlimen khususnya daripada BN, agak baik apabila Dewan Rakyat menyambung sidang pada Februari 2000. Itu kisah 10 tahun lalu ketika BN masih mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat, walaupun pencapaiannya pada Pilihan Raya Umum 1999 merosot.
Pilihan Raya Umum 2004 menyaksikan BN menang besar dan mungkin kerana itu, jika ramai wakil BN ponteng, kesannya kurang terasa. Analisis pencapaian teruk BN pada Pilihan Raya Umum 2008 turut mendapati prestasi wakil rakyat BN sebagai antara sebab, walaupun banyak lagi faktor lain yang memberi kemenangan kepada calon parti pembangkang.
Justeru, sebaik memegang teraju pentadbiran, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengambil pelbagai pendekatan menarik semula sokongan rakyat terhadap BN, termasuk memperkenalkan sistem Petunjuk Prestasi Utama (KPI) bagi menilai tahap prestasi penjawat awam — daripada menteri hingga kepada kakitangan awam biasa. Prestasi wakil rakyat BN, walaupun tidak tertakluk secara langsung dengan KPI penjawat awam, turut dinilai melalui laporan yang dikumpul parti masing-masing, selain oleh rakyat sendiri apabila tiba pilihan raya umum nanti.
Kerana itu, kita memahami apabila Najib menyatakan kekecewaannya terhadap kegagalan ramai Ahli Parlimen BN hadir pada sidang Dewan Rakyat bagi meluluskan Bajet 2010 pada malam Isnin lalu. Seramai 74 Ahli Parlimen BN tidak hadir di Dewan Rakyat ketika bacaan kali ketiga Bajet 2010 untuk kelulusan, menyebabkan rang undang-undang itu lulus dengan kelebihan majoriti hanya tiga undi, iaitu 66 menyokong dan 63 menolak. Dua undi BN itu datang daripada Najib sendiri dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang terpaksa bergegas dari majlis yang mereka hadiri di ibu kota.
Pada peringkat jawatankuasa yang membabitkan Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebelum itu, ia diluluskan dengan perbezaan satu undi saja. Walaupun Dewan Rakyat mempunyai 222 anggota, hampir 100 wakil rakyat termasuk daripada parti pembangkang, tidak hadir ketika undian dijalankan malam itu. Menurut Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sekiranya bajet itu tidak diluluskan, kerajaan BN terpaksa dibubarkan dan satu pilihan raya baru terpaksa diadakan. BN bernasib baik kerana pembangkang sendiri tidak menyedari implikasinya. Jika tidak, pasti mereka mengerahkan semua wakil rakyat pakatan pembangkang hadir malam itu.
Memang kes wakil rakyat ponteng mesyuarat bukan perkara baru dan ia juga turut berlaku di negara lain, termasuk di negara maju. Malah, tidak kurang juga wakil rakyat yang menghadiri sidang hanya untuk memenuhi syarat bagi merekodkan kedatangan demi mendapatkan elaun, tetapi jarang mengambil bahagian dalam perbahasan. Wartawan yang membuat liputan sidang Parlimen kenal benar siapa yang lebih banyak menghabiskan masa di lobi bersembang serta minum di kafeteria.
Tidak kurang juga wakil rakyat yang hanya letih duduk sehingga terlena seketika. Ada pula yang datang pada sebelah pagi, tetapi tidak nampak muka petangnya. Ketika Dewan Rakyat hanya bersidang petang dulu, dalam tempoh lima hari, ada wakil rakyat yang hanya muncul sehari dua menyebabkan mesyuarat sering kekurangan korum sehingga Speaker terpaksa membunyikan loceng. Anehnya, wakil rakyat yang sama masih lagi muncul selepas pilihan raya umum seolah-olah kegagalan mereka menghadiri dan mengambil bahagian yang aktif dalam perbahasan tidak diambil kira dalam pemilihan mereka sebagai calon pilihan raya.
Bagaimanapun, keadaan berubah dengan pengundi sudah membuktikan bahawa mereka tidak teragak-agak menghukum wakil yang pernah mereka sendiri pilih jika selepas itu, ternyata wakil itu gagal menunjukkan prestasi seperti diharapkan. Bagi pengundi generasi baru, kemenangan yang mereka berikan bukanlah pasport untuk wakil rakyat menjayakan agenda atau matlamat peribadi, termasuk bergiat cergas dalam perniagaan sehingga sengaja tidak datang bersidang.
Seseorang yang menjadi wakil rakyat sama ada pada peringkat negeri atau Parlimen adalah ahli politik sepenuh masa. Malangnya, masih ramai wakil rakyat tidak bersedia meninggalkan sepenuhnya profesion mereka sebelumnya. Disebabkan gagal menghayati tugas dan kedudukan sekarang sebagai ahli politik sepenuh masa, kebanyakannya gagal memberi tumpuan untuk berkhidmat.
Barangkali sudah tiba ketikanya amaran yang pernah dikeluarkan Dr Mahathir 10 tahun lalu benar-benar dijadikan peraturan kepada wakil rakyat BN. Mungkin itu cara terbaik bagi memastikan mereka tidak selalu ponteng dan bersungguh-sungguh melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Kita percaya tanpa tindakan atau peraturan yang lebih tegas terhadap gejala ini, apa yang berlaku malam Isnin lalu mungkin berulang. Malah bagi sesetengah wakil rakyat BN, kejadian mencemaskan itu tidak memberikan sebarang kesan dan cepat dilupakan.
Berdasarkan laporan akhbar, ramai Ahli Yang Berhormat lebih lebih berminat mengenai berita perkahwinan seorang rakan mereka dengan artis terkenal daripada implikasi jika BN tewas dalam pengundian Rang Undang-Undang Bajet 2010. — Berita Harian
2 comments:
Masa dekat nak plihanraya sama ada PRK atau PRU calon sanggup redah lumpur atau pergi ke pasar jumpa rakyat sekali pun tempat tu busuk dan jijik. Nak ambil hati dan nak tunjuk mereka mendekati rakyat. Bila bersidang sekali pun dewan persidangan tu selesa dan ada kerusi empuk ponteng pula. Waha AP tak kira dari parti mana hentikanlah sifat munafik anda! Tak usahlah letak rakyat dalam dilema.
Betul ker UBN ada berani nak gugur MP yg poteng tu? Atau saja nak wayang lagi? Jaga nama DS Najib?
Kalau 10 MP UBN kena gugur, elok ler depa buat cara terhormat serah semual kpd rakyat pilih..ya SPR perlu adakan 10 PRK lagi ler...yahoo...org bisnes pun senang ati..ada rezeki lebih sikit...rakyat dpt sogokan duit lagi..bagus gak tu
Post a Comment