KOTA BARU, Dis 25 — Pihak-pihak terlibat dalam insiden kehilangan enjin jet pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) termasuk dipercayai didalangi warga kerjanya telah berdosa kepada setiap rakyat negara ini, kata Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
“Orang yang terlibat bukan saja berdosa dengan Tuhan, tapi berdosa juga dengan rakyat. Kalau rakyat Malaysia ini ada seramai 30 juta, maka orang itu berdosa dengan 30 juta rakyat.
“Sebab enjin itu adalah hak kerajaan dan bila sebut kerajaan ia termasuk lah semua rakyat,” kata Menteri Besar Kelantan ketika menyampaikan kuliah mingguannya di Dataran Ilmu di sini hari ini.
Dengan nada yang sinis Nik Aziz berkata mustahil enjin itu boleh hilang dengan begitu mudah jika tidak ada dalang atau pengatur skrip di sebalik tragedi itu memandangkan prosedur kawalan ketat di pangkalan TUDM.
Baru-baru ini insiden kehilangan dua enjin jet pejuang F-5E milik TUDM mengejutkan banyak pihak.
Sistem kawalan keselamatan negara dipandang rapuh apabila Menteri Pertahanan, Datuk Zahid Hamidi mendedahkan di samping enjin beberapa peralatan kelengkapan lain juga didapati hilang.
Ketua Pemuda PAS pusat, Nasrudin Hassan Tantawi menyifatkan insiden tersebut sebagai memalukan negara sekali gus mempersoalkan sistem kawalan keselamatan negara.
“Jelas sekali aspek keselamatan begitu rapuh sehingga harta yang begitu penting kepada pertahanan negara boleh lesap begitu sahaja,” katanya. - TMI
No comments:
Post a Comment