22 December 2009

Demi imej: Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan letak jawatan

Oleh Mohd Zuharman
KOTA BARU, Dis 22 – Bekas pegawai khas Exco Kerajaan Negeri, Dr Rosli Allani Abd Kader yang melepaskan jawatannya sebagai Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan hari ini, menafikan laporan akhbar bahawa isteri keduanya, Ilyani Mohd Nor berada dalam keadaan tidak sedar ketika mereka berkahwin Disember tahun lalu.

“Adalah mustahil sama sekali isteri saya pergi ke tempat perkahwinan dalam keadaan tidak sedar, dari Kelantan ke Subang,” kata beliau kepada pemberita pada sidang medianya hari ini.
Rosli Allani dikatakan berkahwin dengan pasangannya itu pada 26 Disember 2008 di Masjid Lapangan Terbang Subang, Selangor berwalikan wali hakim.

Namun perkahwinan tersebut tidak dipersetujui bapa mertuanya, Ghazali @ Mohd Nor Che Man kerana disyaki tidak memenuhi rukun dan syarat pekahwinan yang sah di samping meragui tempat perkahwinan dan dokumen saling bertentangan.

Justeru beliau memfailkan tuntutan pembatalan perkahwinan anaknya dengan Dr Rosli melalui peguam syarie, Mohd Zaki Zainal Abidin.

Semalam, hakim syarie Mahkamah Tinggi Syariah di sini Mohd Yusof Awang memerintahkan Rosli Allani tinggal berasingan bersama isterinya sementara dokumen perkahwinan mereka diragui kerana dipercayai terlibat perkahwinan sindiket.

Beliau turut memandang serius beberapa kenyataan lain disiarkan akhbar Utusan Malaysia dan Harian Metro hari ini antaranya beliau bukan seorang lelaki atau suami yang baik dan melakukan tipu daya untuk berkahwin.

“Kenyataan itu mencemarkan imej, maruah dan kedudukan saya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak terbabit termasuk Mohd Nor, peguam bapa mertuanya, Mohd Zaki Zainal Abidin dan kedua akhbar tersebut membuat permohonan maaf secara bertulis dalam akhbar sama dalam tempoh tiga hari mulai hari ini.

Rosli Allani berkata beliau akan memulakan tindakan undang-undang saman fitnah ke atas akhbar berkenaan sekiranya gagal berbuat demikian.

Mahkamah Tinggi Syariah di sini semalam memerintahkan Rosli Allani tinggal berasingan dengan isteri keduanya sehingga permohonan bapa mertuanya untuk membatalkan perkahwinan mereka diputuskan.

Menurut laporan Utusan Malaysia, perintah ‘mufarakah’ (memisahkan) sementara menegah Rosli Allani, 35, daripada tinggal bersama pasangannya, Ilyani, 30, itu dikeluarkan oleh Hakim Syarie Mohd. Yusof Awang.

Mohd. Noor Che Man, 58, seorang ahli perniagaan, memohon supaya pernikahan defendan pertama dengan Ilyani selaku defendan kedua dibatalkan kerana percaya perkahwinan mereka tidak sah.

Mohd. Zaki memaklumkan, plaintif tidak bersetuju dengan permohonan defendan pertama supaya perkahwinan dengan defendan kedua dilakukan semula untuk menyelesaikan perkara tersebut di luar mahkamah.

Mahkamah menetapkan perbicaraan didengar pada 26 April depan.

Dalam pernyataan tuntutan, plaintif meragui perkahwinan tersebut memandangkan tatacara pernikahan tidak memenuhi rukun dan syarat.

Selain itu, plaintif merujuk surat penjelasan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JAWI) bahawa dokumen perakuan nikah pasangan itu tidak dikeluarkan dan tidak tercatat dalam buku daftar perkahwinan jabatan berkenaan.

“Plaintif yakin semasa perkahwinan, anak perempuannya mustahil dalam keadaan sedar kerana bertindak sedemikian tanpa kebenaran pihaknya.

“Oleh yang demikian plaintif yakin defendan pertama bukan lelaki atau suami yang baik, sekufu (sama taraf dari segi keturunan, pangkat dan tahap pembelajaran) dan mempunyai niat yang tidak baik dengan menipu untuk tujuan perkahwinan tersebut,” ujar plaintif dalam penyata tuntutannya. - The Malaysian Insider

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive