23 December 2009

Pakatan perlu pulihkan ‘maruah’ politik negara - Zaid Ibrahim


PETALING JAYA, Dis 23 — Pakatan Rakyat (PR) perlu memperjuangkan semua isu dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama bagi mengembalikan maruah kepada perjuangan politik negara ini.

Bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Zaid Ibrahim yang kini bersama Parti Keadilan Rakyat, salah satu komponen PR berkata, cabaran ikatan itu sekarang ialah membuktikan muafakat sejati di antara pelbagai kaum.

Dengan merujuk kepada kejayaan penganjuran konvensyen sulung PR Sabtu lalu, Zaid berkata PR perlu menjalankan pentadbiran negeri serta negara yang adil dan saksama.

"Inilah sebenarnya cabaran yang menanti kita semua," kata beliau dalam blognya.

Beliau menambah setiap kaum di negara ini juga perlu membuktikan bahawa mereka tidak hanya memperjuangkan kepentingan kaum masing-masing.

"Orang-orang Cina dalam Pakatan Rakyat mestilah menunjukkan bahawa kita bukan hanya mementingkan isu orang-orang Cina.

"Orang-orang India bukan sahaja memperjuangkan isu sekolah Tamil. Orang-orang Melayu pula tidak harus terus-terusan memperkatakan tentang kelemahan mereka serta meminta pertolongan ekonomi.

"Kita dalam Pakatan Rakyat mestilah memperjuangkan semua isu dan kepentingan rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. Kita mesti mengembalikan maruah kepada perjuangan politik Malaysia," kata beliau lagi.

Zaid menambah apa yang bakal menjadi cabaran kepada PR bukanlah menangani dakyah Umno semata-mata tetapi seperti kata Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan Tantawi, "kita jangan jadikan konvesyen itu sebagai satu kejayaan satu hari sahaja."

"Ia perlu disusuli dengan kegiatan bersama dalam usaha bersungguh meyakinkan rakyat bahawa kita akan laksanakan janji tersebut.

"Kita perlu menunjukkan kepada rakyat bahawa kita membawa mesej serta fahaman politik yang berbeza," katanya.

Beliau menambah, Dasar PR sendiri yang dipersetujui tiga parti komponennya merupakan satu paradigma baru dalam politik negara.

"Kejayaan konvesyen itu memang tidak boleh dinafikan. Sudah tentu Umno dan media miliknya akan terus memperlekehkan usaha murni kita dan mengatakan itu semua cakap-cakap kosong sahaja dan tidak boleh dilaksanakan.

"Ada pula yang berkata, tidak ada perkara baru yang diketengahkan. Ada pula menuduh PAS menggadaikan perjuangan Islamnya. Inilah cara mereka yang biasa kita dengar; merendah-rendah, menghina dan menidakkan usaha baik orang lain.
"Malahan, mereka juga tidak malu mengaku bahawa mereka ini menghayati ajaran dan amalan Islam," katanya.

Pun begitu, kata beliau, yang paling ketara dan jelas ialah PR telah pun sebulat suara bersatu untuk berpegang teguh kepada empat perkara pokok teras. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive