03 January 2010

Isu Penggunaan Kalimah Allah swt — Nasrudin Hassan Tantawi

JAN 3 — Keputusan mahkamah yang membenarkan sebuah akhbar (Herald) menggunakan kalimah Allah swt telah mencetus polemik dikalangan masyarakat dalam negara kita. Keadaan kelihatan tegang antara penganut ajaran Kristian dan ummat Islam.

Saya mengharapkan semua pihak terlebih dahulu tidak mengambil tindakan terburu - buru dan diluar kawal dengan hanya berpandukan emosi khasnya kepada ummat Islam. Justeru, Islam adalah agama yang tetap benar dan utuh malah ia akan terus dipelihara dengan hujjah yang benar dan kuat.

Asalnya, agama Kristian (Nasara), Yahudi dan Islam berkongsi Tuhan yang sama iaitu Allah swt. Tuhan yang satu dan Tuhan yang Maha Esa . Inilah jua yang termaktub di dalam Taurat dan Injil.

Namun Taurat dan Injil yang asal telah dipinda oleh para paderi dan pendita Yahudi sejak lama dulu sehingga menghasilkan Injil Barnaba, Injil Matthew dan sebagainya. Semenjak itu mereka menyengutukan (mensyirikkan) Allah swt Tuhan yang Maha Esa dengan menganggap ada Tuhan lain selain Allah seperti Tuhan anak, Tuhan bapa dan Tuhan ibu.

Konsep ketuhanan yang sedemikian adalah sangat bercanggah dengan Islam. Justeru Allah swt adalah Tuhan yang Esa. Tuhan yang Satu dan tiada Tuhan yang lain selain Allah yang layak disembah.

Sementara mana-mana pihak mahu mengambil Tuhan yang lain sebagai Tuhan mereka untuk disembah adalah terpulang kepada keyakinan mereka dan itu menjadi hak mereka dalam beragama. Tetapi mereka tidak boleh menggunakan Lafzul Jalaalah [Allah] sebagai Tuhan dan diletakkan di dalam rumah - rumah ibadah mereka untuk disekutukan kerana ia disifatkan satu penghinaan kepada ummat Islam yang meletakkan Allah swt sebagai Tuhan yang Esa yang tidak sekali-kali layak disekutukan dengan segala apa jua.

Saya bersetuju bahawa kalimah Allah swt boleh digunakan oleh sesiapa jua tanpa ia menjadi milik ekslusif ummat Islam kerana Allah swt adalah Tuhan kepada seluruh ummat manusia. Tetapi penggunaan kalimah Allah itu mestilah benar dan tepat dengan keesaan Allah swt. Seperti mereka mengatakan Allah adalah Tuhan yang mencipta Alam dan Tuhan yang mencipta manusia, maka itu adalah perkataan yang benar dan mereka dibenarkan untuk berkata demikian sekalipun mereka bukan muslim.

Menggunakan kalimah Allah swt secara benar dan betul adalah tidak mengapa. Sebagaimana yang disebut dalam al-Quran, bagaimana golongan musyrikin apabila ditanya: (siapakah yang menjadikan langit dan bumi serta menundukkan matahari dan bulan nescaya mereka menjawab Allah, maka mengapa mereka masih boleh dipalingkan daripada kebenaran). Dalil ini bagi menegaskan tidak mengapa penggunaan kalimah Allah swt dengan maksud yang benar dan bertepatan dengan konsep ketuhanan Allah swt tanpa mereka berpaling dari kebenaran itu.

Melalui pengamatan saya, aliran Kristian di negara-negara arab seperti Mesir meletakkan kalimah Allah di dalam gereja dan restoran-restoran mereka. Pengalaman saya dengan aliran Kristian di Mesir ini mendapati mereka sememangnya menganggap Allah swt adalah Tuhan yang menciptakan manusia dan memberi rezeki. Bahkan mereka menggunakan kalimah Allah swt sejak awal (ribuan tahun) yang lalu.

Situasi ini sangat berbeza dengan aliran Kristian yang lain seperti di barat mahupun di negara kita. Sejak awal mereka tidak pernah menggunakan kalimah Allah swt sebagai merujuk kepada Tuhan yang mereka sembah dalam upacara ibadat, penerbitan dan gereja-gereja mereka. Sebaliknya mereka sering menggunakan kalimah God sebagai Tuhan mereka dan Jesus tatkala merujuk kepada Nabi Isa a.s

Apabila timbul isu penggunaan kalimah Allah oleh akhbar Herald, ia suatu yang sangat asing maka ia mencetus kesangsian dikalangan ummat Islam. Apakah motif penggunaan kalimah tersebut? Jika untuk tujuan ibadah, tidak pernah pula mereka menggunakan kalimah tersebut sebelum daripada ini. Inilah persoalan yang mesti diberikan penjelasan yang jujur dari pihak terbabit.

Kebimbangan ummat Islam adalah berasas. Penggunaan kalimah Allah tanpa motif yang jelas menimbulkan pelbagai prasangka. Apakah ini strategi mereka untuk menimbulkan kekeliruan di kalangan ummat Islam lalu memurtadkan mereka atau ini satu siri provokasi untuk menilai sensitiviti ummat Islam. Prasangka ini akan terus bersarang dan berlegar dalam jiwa ummat Islam.

Sikap saya jelas. Jika mereka guna kalimah Allah secara salah pasti mereka akan berdepan dengan penentangan dan kemarahan ummat Islam yang tidak rela Allah swt dipersenda dan diperlekehkan. Tetapi jika mereka menggunakan kalimah Allah dengan betul dan benar seperti menyebut bahawa Allah adalah Tuhan yang mencipta langit dan bumi, Allah adalah Tuhan yang mencipta manusia, Allah adalah Tuhan yang memberi rezeki dan seumpamanya, maka itu tidak mengapa dan saya boleh bersetuju sekalipun yang melafazkan itu bukan muslim.

Menghormati mahkamah, Kementerian Dalam Negeri berhak membuat rayuan segera bagi membolehkan mahkamah mengkaji dan menyemak semula keputusan yang telah dibuat. Saya juga mengharapkan selepas ini, hakim yang mengendalikan kes mestilah juga hakim yang memahami kedudukan agama Islam dan Kristian di Malaysia. Campur tangan pihak Raja-Raja Melayu juga mungkin boleh meredakan keadaan yang kini kian panas dan tegang.

Insya-Allah, bagi pihak Pemuda PAS senantiasa bersedia untuk berdialog dan berdepan dengan pelbagai pihak bagi menyelesaikan masaalah secara hujjah, tenang dan damai tanpa mencetus pergolakan antara agama.

Kita juga melahirkan rasa kesal terhadap sikap kerajaan Umno dan BN yang selama ini terlalu banyak mendiamkan diri dalam kes-kes yang mempersendakan Islam dan ummatnya.

Nasrudin Hassan Tantawi ialah Ketua Dewan Pemuda PAS

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive