02 January 2010

Umno cemburu TGNA sanggup guna lambang ‘roket’


Oleh Mohd Zuharman


KOTA BARU, Jan 2 — “Umno sebenarnya sudah ketandusan modal. Cemburu melihat kesetiaan di sebalik ikatan dibina PAS bersama Pakatan Rakyat,” kata Setiausaha Perhubungan PAS Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim.

Beliau mengulas kenyataan beberapa pimpinan Umno negeri yang cuba mempertikaikan kenyataan Menteri Besar Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berhubung penggunaan lambang roket baru-baru ini.

Nik Aziz baru-baru ini dilapor membuat kenyataan sanggup menggunakan lambang roket bagi membuktikan keutuhan semangat kerjasama antara parti gabungannya DAP dan PKR.

Awal minggu ini Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS mendakwa DAP kini sudah dapat menerima rancangan penubuhan sebuah negara Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.

Nik Aziz berkata kesediaan pemimpin DAP membawa lambang PAS dalam Pakatan Rakyat (PR) ketika ini membuktikan mereka semakin memahami dan dapat menerima dasar perjuangan PAS.

Beliau mengakui turut memakai lambang parti DAP, Parti Keadilan Rakyat dan PAS untuk membuktikan kesetiaan dan hubungan baik yang dijalin antara mereka dalam Pakatan Rakyat ketika konvensyen sulung mereka di Shah Alam, Selangor 19 Dis lalu.

Kata beliau semua pemimpin memakai baju yang memaparkan lambang tiga parti termasuklah Pengerusi DAP Karpal Singh dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada majlis itu tanpa dirancang.

Ketika berucap pada konvensyen itu Nik Aziz berkata "di dada Karpal ada bulan" merujuk kepada lambang PAS bulan.

Kedua-dua Nik Aziz dan Karpal buat pertama kali bertemu di satu pentas.

Susulan kenyataan itu, Setiausaha Barisan Nasional (BN) negeri Datuk Md Alwi Che Ahmad memberi reaksi menyifatkan Nik Aziz telah hilang kredibiliti.

Pengerusi Biro Agama Badan Perhubungan Umno Kelantan Abdul Halim Ismail berkata Nik Aziz sebagai membelakangi Islam manakala Setiausaha Pergerakan Pemuda Umno negeri Bazlan Baharudin menganggapnya sebagai gimik politik untuk menarik sokongan kaum bukan Melayu.

Kata Zaki, reaksi pimpinan Umno tersebut menunjukkan fahaman sempit mereka terhadap falsafah politik dan agama.

Sementara itu Timbalan Pengerusi Kajian Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Kelantan, Drs Zainuddin Awang Hamat yang menyokong kenyataan Nik Aziz menyifatkan ketiga-tiga pemimpin tersebut sebagai tidak berilmu.

“Sebelum membuat kritikan, Umno sepatutnya ingat dan faham sejarah Al-Hudaibiah Antara Perang dan Damai.

“Inilah padah amalan agama suku politik suku,” kata beliau semasa ditemui di kediamannya.

Sambil menegaskan PAS tidak pernah bermusuh dengan Umno, penggunaan lambang tersebut membuktikan sikap keterbukaan PAS yang mendokong prinsip Islam selama ini sebenarnya lebih mengutamakan konsep Islam.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Kelab Penyokong PAS Kelantan mempersoalkan relevan Umno cuba mempolemikkan realiti lambang yang hanya sekadar untuk membezakan fizikal tertentu saja.

“Saya pun tak faham kenapa perkara itu pun Umno nak jadikan isu,” jelasnya seraya menegaskan bahawa PAS tidak pernah memerangi Umno, tetapi fahamannya.

Pada masa sama Zainuddin menyeru rakan-rakannya dari Umno supaya membuka mindanya untuk memahami konsep PAS yang telah terbukti kejayaannya mendorong kaum-kaum lain menerima PAS sebagai harakah. TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive