21 January 2010

Kepimpinan Islam di Malaysia - Zaid Ibrahim

Ada pihak menyuarakan rasa sedih melihat perkembangan Malaysia hari ini kerana menganggap warga Islam majoritinya sudah tidak lagi terbuka, sederhana atau toleransi terhadap warga lain yang berlainan agama. Seperti dahulu. Ini sebenarnya persepsi yang kurang tepat.
Saya mahu perbetulkan persepsi ini. Saya kata hanya pemimpin politik UMNO, penulis akhbar dan blog UMNO, dan sesetengah pemimpin agama yang mahu naik pangkat secepat mungkin dalam jabatan atau majlis agama yang sudah menjadi ekstrem dan tidak lagi sederhana. Mereka ini tidak faham apa itu sederhana atau toleransi. Mereka tidak tahu apa yang berlaku di Negara mereka di Sabah dan Sarawak. Mereka inilah yang menimbulkan masalah dalam hubungan kaum dan agama di negara ini.

Sebahagian besar orang Melayu dan umat Islam tidak begitu sifat mereka. Tidak dinafikan, kumpulan majoriti ini mungkin ada kebimbangan mereka serta tidak memahami sesuatu isu yang dimainkan dalam media massa, tetapi mereka bersedia untuk meneliti dan mempertimbangkan permasalahan itu secara baik dan berhemah.
Sebenarnya umat Islam secara amnya berhemah dan bertoleransi. Lihatlah kumpulan majoriti Islam di merata dunia termasuk di negara umat Islam terbesar di dunia Indonesia. Mereka berhemah dan ada toleransi kerana pemimpin agama mereka mempunyai kualiti dan bersifat moderate, lebih mementingkan "essence" agama Islam.

Sebab itulah di negara-negara umat Islam lain tak ada larangan menggunakan nama Allah atau 32 perkataan "Islam" lain yang telah dilarang seperti di Selangor, Melaka dan Pahang. Perkataan "masjid", "baitulmal" dan "kaabah" juga dilarang dan tidak boleh digunakan oleh orang bukan Islam di negeri-negeri berkenaan.
Nampaknya hanya Melayu UMNO yang takut dan tidak faham sejarah dan melihat musuh di mana-mana. Inilah kumpulan yang mengatakan negara lain tak sama dengan negara kita. Memang tak sama. Orang lain tahu sejarah dan faham erti toleransi. Mereka yakin kepada intelek dan fahaman agama mereka.

Nampaknya berbeza kualiti dan kekusutan intelek pemimpin agama kita jika dibandingkan dengan pemimpin agama di Indonesia, India, Pakistan dan Mesir. Malah di Singapura pun, Islam dilaksanakan dengan penuh hemah dan hikmah. Pesanan Majlis agama Islam Singapura (MUIS),
"Contohilah sifat Rasulullah SAW , sifat simpati (Aziz) prihatin, penyantun (Rauf) dan penyayang (Rahim). Masyarakat Islam seharusnya merasakan bahawa kewujudan mereka di kalangan masyarakat lain hendaklah membawa rahmah seperti mana Rasulullah membawa rahmah kepada seluruh alam.
Ini memerlukan masyarakat Islam menilai sesuatu keadaan baru dan mencari penghuraian dan pendekataan terbaik dan bijak menggunakan pendekatan lembut untuk mencapai matlamat murni." Berbeza dengan nasihat badan badan agama kita yang sentiasa mahu berperang.

Lihatlah cara Rasalullah mendampingi dan menyesuaikan diri di Yathrib, di tempat orang Yahudi dan Nasrani sehingga mereka akhirnya menerima baginda sebagai pemimpin. Sebaliknya, pemimpin Islam di Malaysia lebih suka marah-marah, lebih suka mencari gaduh dan senantiasa mengajak Islam bersatu bukan untuk kebaikan tetapi kerana mahu melawan musuh kononnya – dan digunakan Yahudi sebagai contoh seolah-olah ada kumpulan tertentu di negara ini yang dianggap sebagai Yahudi atau musuh besar Islam.
Inilah sifat pemimpin yang kurang ilmu, kurang tahu selok-belok hidup bermasyarakat majmuk, kurang memberi ruang untuk perbincangan kerana mereka mungkin tidak faham pun isu yang sebenar. Yang mereka tahu hanyalah menyenaraikan kira-kira 30 perkataan yang tidak boleh disebut oleh orang bukan Islam.

Mereka tidak pula memberi cadangan apa yang boleh orang bukan Islam gunakan sebagai ganti. Jadi nama apa yang boleh mereka pakai? Itulah tahap kecemerlangan pemimpin Islam Malaysia. Dan semakin hari semakin tertutup peluang Islam untuk berdakwah secara hemah dan hikmah di negara kita ini.

*Tulisan ini dipetik dari blog Zaid Ibrahim, bekas Menteri Jabatan Perdana Menteri yang kini menyertai Pakatan Rakyat.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive