25 January 2010

Mahkamah tolak bantahan awal bekas mufti Perlis


SHAH ALAM, Jan 25 — Bantahan awal bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin (gambar), yang didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah, terhadap permohonan semakan pendakwa syarie untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini ditolak hari ini.

Hakim Syarie Mohammad Adib Husain, yang membuat keputusan itu, berkata Mahkamah Syariah Selangor mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan kes tersebut kerana ia berkaitan Seksyen 119(1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003.

Katanya isu pentauliahan kepada mereka yang ingin mengajar agama bukan kehendak syariah tetapi peraturan yang digubal oleh pemerintah untuk mentadbir orang Islam.

Ianya juga untuk mengawal kemasukan ajaran yang bertentangan dengan agama yang boleh memecah belahkan umat adalah dibenarkan oleh syariah, katanya sambil menetapkan 9 Mac depan untuk mendengar permohonan semakan itu.

Mohammad Adib berkata Allah memberi manusia kebebasan untuk berfikir tetapi kebebasan mutlak tanpa batasan tidak wujud. Beliau berkata kebebasan dalam Islam dalam mengeluarkan pendapat ialah untuk menegakkan kebenaran tetapi kebebasan itu tidak boleh digunakan sehingga memudaratkan orang lain dan merosakkan hubungan sesama manusia.

Perbezaan pendapat adalah dibenarkan tetapi janganlah sehingga menyebabkan pertikaian yang boleh memecah belahkan dan melemahkan umat Islam, katanya. “Kebebasan adalah dipandu oleh undang-undang, ia tidak mengikut selera seseorang sebab itu diadakan undang-undang jenayah termasuk Seksyen 119,” katanya.

Mohammad Adib berkata Seksyen 119 digubal bagi mengelakkan perkara- perkara negatif dan ia tidak bercanggah dengan Artikel 4(1) Perlembagaan Persekutuan.
Bulan lepas, Mohd Asri, 38, telah mengemukakan bantahan aw
al terhadap permohonan semakan pihak pendakwaan berhubung keputusan Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur yang menolak untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Bantahan awal itu dikemukakan oleh peguamnya Kamar Ainiah Kamaruzaman dengan alasan Mahkamah Syariah Selangor tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan membicarakan semakan itu.

Bantahan itu juga mendakwa Seksyen 119 mengekang kebebasan individu bersuara di bawah Artikel 10 Perlembagaan Persekutuan dan mengembangkan agama di bawah Artikel 11 dan ini nampaknya bercanggah dengan Artikel 4 (1) Perlembagaan.

Sebelum ini, Mohd Asri mengaku tidak bersalah di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur selepas didakwa mengikut Seksyen 119 kerana didapati mengajar agama Islam tanpa tauliah di sebuah kediaman di Lorong 2 C, Taman Sri Ukay, Ampang, antara 8.10 malam dan 9.45 malam 1 Nov lepas. Jika sabit kesalahan Mohd Asri boleh didenda sehingga RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Mohd Asri diwakili Kamar Ainiah dan Jamal Mohd Lokman Sulaiman sementara pendakwaan dikendalikan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid dengan dibantu oleh Zusyarafain Md. Yusof. — Bernama

1 comment:

Anonymous said...

dr asri memang bagus ceramahnya dan disanjung tinggi oleh masyarakat tetapi janganlah seorang ulama mengajar rakyat membelakangkan undang2.
jikalau kita tidak bersetuju dengan undang2 tersebut kita mesti cari jalan yang sesuai untuk membuangkan undang2 itu mengikut cara yang betul.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive