18 March 2010

Dialog Royalti Minyak bersama Ku Li di KT malam ini diteruskan

Gegar: Dialog royalti minyak di KT malam ini diteruskan

Tengku Razaleigh telah memberi komitmen untuk menghadiri dialog malam ini. — Gambar failKUALA LUMPUR, 18 Mac — Dialog royalti minyak anjuran Majlis Pemuafakatan Rakyat Terengganu (Mampat) dan Gerakan Bertindak Kembalikan Royalti Rakyat (Gegar) di Kuala Terengganu malam ini diteruskan sebagaimana telah dirancang dengan komitmen akan disertai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Setakat ini, dialog ini diteruskan dan Tengku Razaleigh juga sudah menyatakan komitmen untuk menyertai dialog,” kata Setiausaha Bersama Gegar Zaidan Abdullah ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Ketika ditanya mengenai laporan bahawa tiada permit diberikan, Zaidan yang juga Setiausaha Mampat berkata, majlis tersebut diadakan dalam dewan kawasan persendirian iaitu di Terengganu Ekuestrian Resort sendiri dan biasanya tidak memerlukan permit pihak berkuasa.

“Mengikut amalan-amalan masa lalu, majlis yang diadakan dalam dewan dalam Terengganu Ekuestrian Resort tidak diperlukan permit, cuma kami memaklumkan pihak polis.

“Dalam hal ini, kami juga akan memaklumkan pihak polis mengenai dialog ini,” kata beliau dengan mengharapkan tidak akan timbul sebarang masalah.

Pertemuan malam ini merupakan forum kedua dihadiri oleh Tengku Razaleigh selepas ceramah di Kota Baru akhir Januari lalu.

Pada pertemuan di Kota Baru, beliau yang juga pengasas dan bekas pengerusi Petronas menegaskan bahawa Kelantan juga layak menerima wang royalti hasil pengeluaran minyak, bukannya wang ihsan.

Laporan Bernama semalam menyebut polis Terengganu member amaran akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan keadaan tidak aman di negeri itu.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Shukri Dahlan berkata ia termasuk mereka yang cuba mengadakan perhimpunan haram bagi menyerahkan memorandum berhubung royalti minyak kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin, Sabtu ini.

“Saya ingin menasihatkan pihak-pihak berkenaan bahawa itu bukanlah tempat yang sesuai untuk menyerahkan memorandum atau mengemukakan bantahan kerana Yang di-Pertuan Agong berangkat ke Terengganu di atas urusan-urusan tertentu.

“Saya tidak mahu mana-mana pihak cuba mengambil kesempatan di atas kehadiran Tuanku untuk melakukan sesuatu yang di luar program yang telah ditetapkan oleh pihak istana,” katanya.

Mampat dan Gegar dilaporkan bercadang untuk menghimpunkan kira-kira 10,000 orang bagi menyerahkan dua memorandum berhubung tuntutan royalti minyak kepada Tuanku Mizan di Lapangan Terbang Sultan Mahmud.

Mengulas mengenai program ceramah dan dialog yang akan dianjurkan di Terengganu Ekuestrian Resort malam ini, beliau berkata pihaknya belum menerima permohonan permit daripada pihak berkenaan untuk berbuat demikian.

“Setakat ini saya tidak ada menerima sebarang permohonan permit. Kita akan ambil tindakan kepada mereka yang kita rasakan akan menimbulkan masalah keselamatan,” katanya yang menasihatkan penganjur supaya tidak meneruskan program itu bagi mengelakkan tindakan undang-undang.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive