28 April 2010

Pakatan vs BN di Shah Alam


KUALA LUMPUR, 28 April — Dua hari selepas pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi menjadi tumpuan media di Selangor.

Bagaimanapun kali ini bukan kerana kempen pilihan raya kecil tetapi memperlihatkan sokongan kepada keluarga seorang remaja 15 tahun yang ditembak mati oleh polis di Seksyen 11, Shah Alam awal pagi kelmarin.

Semalam, kerajaan pusat mengumumkan satu panel khas akan ditubuhkan bagi menjalankan siasatan terperinci berhubung insiden tersebut.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata panel khas itu akan diketuai oleh Timbalannya Datuk Wira Abu Seman Yusop bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu.

Beliau berkata siasatan tersebut akan meliputi semua aspek dan dijalankan secara telus tanpa sebarang fakta disembunyikan bagi memastikan keadilan kepada semua pihak.

“Saya bukan sahaja sedih dan kesal malah terkejut dengan apa yang berlaku, lebih-lebih lagi kejadian ini membabitkan pelajar yang baru berusia 15 tahun justeru saya jamin siasatan dilakukan secara telus.

“Kita akan siasat semua aspek termasuk kewajaran tindakan polis melepaskan tembakan ketika itu,” katanya di sini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seorang remaja lelaki berusia 15 tahun mati terkena tembakan polis manakala rakannya berjaya melarikan diri selepas terserempak dengan kereta peronda polis (MPV) di kawasan Seksyen 11 Shah Alam.

Aminulrasyid Amzah, 15, dilaporkan terkena tembakan yang dilepaskan oleh anggota polis peronda apabila dia disyaki cuba mengundurkan kenderaan yang dipandunya untuk melarikan diri daripada satu sekatan jalan raya.

Menurut polis sebilah parang ditemui dalam kereta itu.

Keluarga itu turut dilawati Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar yang memberi jaminan beliau akan membangkitkan isu kematian remaja itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini bagi meminta supaya polis menjalankan siasatan kes itu secara adil.

Beliau berkata Ketua Polis Selangor Datuk Khalid Abu Bakar sendiri telah memberi jaminan bahawa siasatan akan dijalankan secara terperinci dan tidak akan melindungi mana-mana pihak yang terlibat.

Noh berkata Umno negeri sedia membantu termasuk dalam memberikan khidmat guaman terbaik kepada keluarga itu jika diperlukan.

Ahli Parlimen Selayang dari PKR, William Leong pula berkata insiden itu menimbulkan persoalan sama ada polis telah bertindak dengan cukup munasabah dan bertanggungjawab dalam menjalankan tugas mereka.

Kata beliau, persoalan itu timbul apabila ada insiden membabitkan wanita dan golongan remaja menjadi sasaran tembakan polis atas nama mahu mempertahankan diri mereka daripada penjenayah.

“Oleh itu perlu ada kajian semula segera berhubung peraturan dan prosedur berhubung penggunaan senjata oleh polis,” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan.

Ibu remaja tersebut, Norsiah Mohamad, 60, ditemani oleh peguam-peguam Pakatan Rakyat untuk membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Shah Alam petang semalam, menggesa agar satu siasatan bebas dilakukan oleh Bukit Aman.

Gesaan itu disokong oleh Ahli Parlimen Kapar S. Manikavasagam, Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ketua Penerangan PKR Latifah Koya.

Dalam laporannya, Norsiah melahirkan kekecewaan kerana anaknya dilabel sebagai penjenayah.

Peguam N. Surendran dan Latifah dilantik oleh keluarga mangsa.

Bagimanapun Norsiah dibawa keluar oleh seorang yang mendakwa sebagai ahli keluarganya sebaik sahaja laporan polis dibuat.

Surendran memberitahu The Malaysian Insider bahawa keluarga berkenaan berhadapan dengan tekanan agar menggunakan peguam-peguam Umno

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive