21 April 2010

PRK Hulu Selangor tidak sah

Oleh G. Manimaran

HULU SELANGOR, 21 April — Pilihan raya kecil kerusi Parlimen Hulu Selangor dengan hari pengundian Ahad ini tidak sah?

Persoalan ini timbul ekoran dakwaan Pakatan Rakyat bahawa tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memindahkan 228 pengundi dari Kampung Tanjung, Batang Kali dalam bahagian Hulu Selangor ke kerusi Parlimen jiran — Selayang.

“Kami lihat ini satu tindakan tidak sah, memindahkan pengundi dari satu bahagian ke bahagian lain,” kata Pengarah Pilihan Raya PKR, Fuziah Salleh pada sidang media di sini hari ini.

Dilihat sebagai cabaran bagi beliau yang memikul tanggungjawabnya sebagai pengarah pilihan raya sejak awal Februari lalu, Fuziah menegaskan SPR tidak boleh memindahkan seseorang pengundi ke bahagian lain tanpa pengetahuan pengundi terbabit.

“Pemindahan ini bukan atas permintaan (permohonan) pengundi berkenaan, tetapi SPR yang memindahkan mereka,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri calon Pakatan Rakyat Datuk Zaid Ibrahim.

Fuziah menambah, kumpulan pengundi berkenaan yang memenangkan calon PKR dua tahun lalu seolah-olah terbabit dalam proses persempadanan semula bahagian pilihan raya.

“Mereka dikeluarkan dari satu bahagian (Hulu Selangor) ke bahagian lain iaitu Selayang.

“Tindakan mengeluarkan mereka seperti ini hanya boleh dibuat ketika persempadanan semula, bukannya sekarang.
“Ini satu tindakan SPR menghilangkan hak mereka untuk mengundi,” kata beliau sambil menambah pihaknya ada menghubungi penasihat undang-undang SPR berhubung berkenaan tetapi pegawai berkenaan tidak dapat memberikan jawapan jelas atas alasan baru kembali dari luar negara.

Ditanya adakah Pakatan Rakyat akan mengambil tindakan undang-undang mengisytiharkan pilihan raya ini tidak sah, Fuziah yang juga Ahli Parlimen Kuantan berkata, “kami sedang menuju kemenangan, jadi tidak mahu memikirkan tindakan (fail kes) ini.”

“Kami akan memikirkan tindakan susulan selepas pilihan raya nanti,” katanya.

Sambil menegaskan pengundi terbabit boleh harus diberikan hak mengundi di Hulu Selangor Ahad ini, Fuziah berkata, pengundi-pengundi terbabit mempunyai hak untuk menyaman SPR.
“Mereka boleh saman SPR,” katanya.

Dalam reaksi kepada The Malaysian Insider, Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata tindakan itu tidak salah dari segi undang-undang.

“Proses ini sudah dijalankan sejak selepas pilihan raya umum 2004. Jadi kami mendapati ada kawasan yang termasuk dalam bahagian pilihan raya yang lain tetapi hakikat pengundi kena mengundi di tempat lain.

“Jadi SPR sedang mengambil tindakan membetulkan lokaliti tempatan mengundi dengan memindahkan pengundi kawasan terbabit ke bahagian-bahagian lain... salah satu bahagian terbabit ialah Hulu Selangor dan Selayang,” katanya.

Kelmarin, beliau mengakui SPR tidak memaklumkan 228 pengundi terbabit berhubung pemindahan mereka.

Mereka tidak dapat mengundi pada Ahad ini.

Menurut Wan Ahmad, pengundi berkenaan kini berada dalam bahagian Dewan Undangan Negeri Rawang, bukan lagi Batang Kali.

Kata beliau, SPR hanya mengenal pasti perkara itu selepas daftar pemilih akhir dikemaskinikan untuk tujuan pilihan raya kecil kerusi Hulu Selangor.

Kata beliau pada masa lalu proses menentukan sempadan dibuat secara manual tetapi kini SPR menggunakan sistem maklumat geografi sejak 2004. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive