17 May 2010

Khir Toyo jangan campur tangan : MB Khalid


Oleh Qayum Rahman

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan bahawa kenyataan beliau berhubung kejadian yang menimpa Ahli Parlimen Kapar S.Manikavasagam di putar belit oleh media arus perdana.

Menurutnya, media sengaja memutar belitkan cerita menjadi sensasi supaya berlaku perselisihan faham di antara beliau dengan Manikavasagam.

"Saya tidak bermaksud untuk mengeluar kenyataan sedemikian kepada Ahli Parlimen Kapar dan saya cuma memberi nasihat sahaja," kata beliau kepada sidang media selepas menemui delegasi pelabur dari Indonesia di Shah Alam hari ini.

"Maksud sebenar saya, Manikavasagam perlu bersedia menghadapi sebarang kejadian selepas beliau mendedahkan penyelewengan projek pasir dalam syarikat Semesta Sdn Bhd, kerana pihak yang terlibat tidak akan berpuas hati terhadap pendedahan itu.

Khalid berkata, beliau turut mengutuk tindakan kejam mereka yang tidak bertanggungjawab terhadap Manikavasagam.

"Saya sendiri merasakan tindakan merosakkan harta benda milik orang lain adalah kejam dan saya harap polis dapat melakukan siasatan untuk menyelesaikan masalah ini.

Tambah beliau, pendedahan yang dilakukan oleh Ahli Parlimen Kapar disokong sepenuhnya oleh kerajaan negeri supaya membantu memperingatkan orang lain agar tidak melibatkan diri dalam rasuah.

"Saya harap Manikavasagam tidak termakan dengan niat jahat media arus perdana yang mencari jalan untuk melagakan saya dan beliau," katanya.

"Saya harap Khir Toyo tidak campur tangan"

Sementara itu, Khalid juga menyelar tindakan bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Khir Toyo yang menuduh beliau terlibat dalam penyelewengan pasir Syarikat Semesta Sdn Bhd.

Beliau berkata, Khir Toyo sengaja mengambil kesempatan dalam usaha untuk menjatuhkan kerajaan di bawah pimpinan beliau dan juga mencari populariti murahan untuk menonjolkan diri.

"Kenyataan Khir Toyo adalah tidak wajar dan merupakan satu penipuan untuk merosakkan imej saya," tegas beliau.

"Saya harap beliau tidak perlu campur tangan kerana tidak berkaitan dan beliau sepatutnya sedar terhadap banyak penyelewengan yang beliau lakukan di Selangor ini," katanya.

Bercakap mengenai pelaburan Indonesia di Selangor, Khalid berkata, kerajaan negeri memperkenalkan kepada para pelabur Indonesia dengan satu kawasan untuk dijadikan taman perindustrian halal dan juga kawasan industri perkilangan iaitu di Selangor Science Park 2 di Sepang.

Beliau berkata, para pelabur Indonesia menyatakan kawasan tersebut mempunyai potensi yang besar untuk diusahakan bagi mecapai pulangan yang lumayan.

" Saya berharap para pelabur yang hadir akan bekerjasama lebih erat bersama kerajaan negeri Selangor demi mencapai kemajuan bersama," katanya - Free Malaysia Today

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive