23 August 2010

DAP kutuk kejadian simbah cat di surau

KUALA LUMPUR, 23 Ogos — DAP mengutuk dengan sekeras-kerasnya kejadian sebuah surau di Taman Pulai Impian, Seremban disimbah cat merah pagi ini ketika umat Islam menyambut bulan Ramadan.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng kejadian tersebut bukan sahaja tidak bertanggungjawab dan jahat tetapi juga adalah suatu perbuatan khianat yang tidak boleh diterima dalam sebuah masyarakat demokrasi berpelembagaan, bertamadun dan madani.

“Mengikut Pengerusi DAP Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke, yang melawat surau tersebut, terdapat beberapa cebisan botol arak yang mengandungi cat merah di kawasan tersebut.

“Pihak yang bertanggungjawab mungkin rasa provokasi ini akan lebih berkesan dalam bulan Ramadan yang mulia ini,” kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.

Lim memberitahu, DAP berharap polis boleh bertindak cepat menangkap mereka yang terbabit agar boleh dibawa ke muka pengadilan dengan segara.

“Saya meminta semua rakyat Malaysia berdoa untuk keamanan dan menghindar daripada budaya kebencian dan keganasan yang tentunya akan menggugat harmoni dan perpaduan negara,” katanya.

Pengerusi jawatankuasa surau itu, Mohd Hasbi Ismail, berkata kejadian itu disedari oleh jemaah surau semasa solat subuh pagi ini dan memaklumkan kepadanya.

“Kejadian ini saya rasa berlaku antara 3.30 pagi dan 4 pagi dan saya telah membuat laporan polis secara rasmi,” katanya kepada Bernama.

Hasbi berkata selain empat botol arak dibaling di hadapan bangunan surau, terdapat kesan cat warna merah di dinding, lantai dan pintu cermin bahagian kanan surau.

“Saya rasa amat sedih dan kesal atas kejadian yang berlaku kerana mencemari rumah ibadat orang Islam dan kesucian bulan Ramadan,” katanya.

Surau yang tidak berpagar itu baru digunakan pada 24 Julai lepas.

“Saya anggap ini adalah satu perbuatan khianat oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

“Saya tidak tahu apakah motif sebenar mereka yang melakukan kerja ini dan berharap pihak polis akan menyiasat sehingga tertangkapnya mereka yang terlibat dan dihadapkan ke muka pengadilan,” katanya. - TMI.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive