19 August 2010

Kes liwat: Pemuda PKR buat laporan qazaf terhadap Ezam

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Shamsul Iskandar Mohd Akin mahu membuat laporan qazaf terhadap Senator Ezam Mohd Nor ekoran kenyataan-kenyataan berhubung kes liwat kedua dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Shamsul Iskandar berkata, laporan ke atas Ezam yang juga bekas AMK dibuat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Laporan akan dibuat di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan petang ini.

“Berdasarkan beberapa kenyataan media dan juga menerusi ‘Twitter’, Ezam (gambar) membuat kenyataan mengaitkan Anwar dengan perbuatan meliwat dan juga mendakwa isterinya Datuk Seri Wan Azizah,” kata Shamsul Iskandar ketika dihubungi.

Salah satu mesej Twitter yang dikeluarkan pada 11 Ogos lalu, berbunyi, “Azizah lindungi Anwar sebagai isteri, OK, tidak boleh subahat biar Anwar fitnah yang lain untuk tutup kesalahan sendiri sebab Azizah tahu hal yang sebenar.”

Maklumat mengenai aduan yang hendak dibuat disiarkan menerusi blognya hari ini.

Shamsul Iskandar berkata, Seksyen 41 merujuk kepada tindakan mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina tanpa empat saksi lelaki.

Kata beliau, laporan itu juga ada kaitan dengan tindakan Ezam mencabar Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuat sumpah berhubung kenyataannya bahawa isteri Anwar pernah meminta bantuannya menghalang seorang lelaki daripada menghampiri Ketua Umum Pakatan Rakyat itu.

Dalam kenyataan pada 12 Ogos lalu, Ezam mempertahankan pendiriannya bahawa beliau pernah diminta Dr Wan Azizah agar membantu menghalang seorang lelaki daripada mendekati suaminya sekitar 2006.

Ezam menambah, beliau bersedia untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang Dr Wan Azizah jika merasakan telah difitnah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Saya tidak fitnah, saya tidak fitnah... apa lagi ini bulan puasa, saya tidak memfitnah,” kata Ezam ketika dihubungi The Malaysian Insider sebelum ini.

Sehari sebelum itu Dr Wan Azizah memberi amaran akan mengambil tindakan undang-undang terhadapnya jika terus memfitnah kononnya beliau pernah meminta bantuan agar menghalang seorang lelaki daripada mendekati Anwar.

Dr Wan Azizah berkata, Ezam terus menabur fitnah berhubung perkara itu terhadap beliau selaku isteri kepada Anwar sejak menyertai Umno tahun lalu.

Ezam dilaporkan menyentuh isu berkenaan ketika ceramah jelajah Umno Selangor baru-baru ini.

Selain itu beberapa blog pernah melaporkan Ezam berkata demikian, bantuan yang didakwa diminta oleh Dr Wan Azizah sekitar 2006, dua tahun selepas Anwar dibebaskan dari penjara.

Dr Wan Azizah berkata beliau sebenarnya enggan melayan sebarang kenyataan Ezam yang dibuat “hasil menerima upah pimpinan Umno.” - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive