19 August 2010

Shamsul cabar Ezam bersumpah

Qazaf: Ketua Pemuda PKR cabar Ezam sumpah, bawa empat saksi

Oleh Syed Mu'az Syed PutraAugust 19, 2010

KUALA LUMPUR, 19 Ogos — Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini mencabar Senator Ezam Mohd Nor bersumpah di Mahkamah Syariah dan membawa empat saksi berhubung kenyataan-kenyataannya menyentuh kes liwat kedua dihadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata demikian selepas membuat aduan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) terhadap Ezam atas tuduhan membuat tuduhan qazaf terhadap Anwar.

“Saya cabar Ezam untuk mengangkat sumpah di Mahkamah Syariah sekiranya dipanggil selain membawa empat saksi lelaki bagi membuktikan segala tuduhan itu adalah benar.

“Saya pasti tuduhan yang dibuat Ezam itu adalah fitnah dan sudah pasti beliau juga tidak mempunyai empat orang saksi itu,” kata beliau selepas membuat aduan di pejabat Jawi kira-kira 2.45 petang tadi.

Beliau percaya Jawi akan membuka kertas siasatan dan akan memanggil Ezam untuk beri keterangan.

“Dalam aduan tadi kita telah kemukakan bukti-bukti mengenai tuduhan-tuduhan yang dibuat Ezam terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya difahamkan Jawi akan siasatan dan akan panggil Ezam untuk memberi kenyataan,” katanya.

Shamsul Iskandar berkata, laporan ke atas Ezam yang juga bekas AMK dibuat di bawah Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997.

Menurut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah Persekutuan 1997, “mana-mana orang yang menuduh orang lain melakukan zina (atau liwat) tanpa mengemukakan, mengikut hukum syarak, empat orang saksi lelaki atau ikrar orang yang dituduh itu adalah melakukan suatu kesalahan.”

Jika disabitkan dengan kesalahan qazaf, seseorang boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Shamsul membuat aduan itu berdasarkan beberapa tulisan Ezam menerusi perkhidmatan blog-mikro Twitter.

Salah satu mesej Twitter Ezam yang dikeluarkan pada 11 Ogos lalu, berbunyi, “Azizah lindungi Anwar sebagai isteri, OK, tidak boleh subahat biar Anwar fitnah yang lain untuk tutup kesalahan sendiri sebab Azizah tahu hal yang sebenar.”

Dalam kenyataan pada 12 Ogos lalu, Ezam mempertahankan pendiriannya bahawa beliau pernah diminta Dr Wan Azizah agar membantu menghalang seorang lelaki daripada mendekati suaminya sekitar 2006.

Ezam menambah, beliau bersedia untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang Dr Wan Azizah jika merasakan telah difitnah dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

“Kita percaya, ini adalah laporan pertama melibatkan Twitter dikemukakan kepada Jawi.

“Jadi Ezam wajar disebat 80 kali kerana membuat tuduhan fitnah,” kata Shamsul Iskandar lagi - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive