27 September 2010

ADUN Galas meninggal dunia

KUALA LUMPUR, 27 Sept - Ahli Dewan Undangan Negeri Galas Che Hashim Sulaima yang menghidap kanser usus meninggal dunia di Hospital Pakar Al Islam Kampung Baru di sini petang ini.Allahyarham Che Hashim, 48, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 4.25 petang, kata Naib Yang Dipertua PAS Gua Musang Hussin Embong kepada The Malaysian Insider.

Ia akan membuka ruang kepada pilihan raya kecil yang ke-12 dan kedua di Kelantan sejak pilihan raya umum 2008.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar juga mengesahkan perkara itu.

“Saya baru balik dari menziarahi beliau dan ketika sedang minum berhampiran pejabat PAS, tiba-tiba menerima panggilan daripada Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Dato' Taqiyuddin Hassan... baru 10 minit tadi saya terima panggilan,” kata beliau.

Beliau berkata, Allahyarham kemungkinan akan dikebumikan esok.

Che Hashim telah dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu untuk rawatan barah usus.

Dalam pada itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan Datuk Nasuruddin Daud dipetik Bernama berkata, “saya ada menelefonnya dua hari lalu dan memaklumkan bahawa beliau kini berada di ibu negara untuk menjalani rawatan.”

Ini merupakan kali ketiga Che Hashim dimasukkan ke hospital bagi menjalani rawatan barah ususnya itu sejak mendapat rawatan di China.

Beliau disahkan menghidap penyakit tersebut sejak Mei tahun lalu selepas batuk mengeluarkan darah.

Susulan itu beliau menjalani pembedahan di The First People’s Hospital Fu San, Beijing selepas menerima rawatan di sebuah hospital di Kuala Lumpur selama tiga bulan.

Pada pilihan raya umum 2008, Che Hashim berjaya merampas DUN Galas daripada Barisan Nasional (BN) dengan majoriti 646 undi. Beliau mendapat 4,399 undi menewaskan penyandang dari BN Saufi Deraman yang mendapat 3,753 undi. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive