NILAI: Seorang perompak berjaya melarikan wang tunai berjumlah kira-kira hampir RM80,000 dalam satu kejadian rompakan di sebuah bank CIMB cawangan Bandar Baru Nilai, dekat sini petang Rabu.
Ketua Polis Daerah Seremban ACP Saiful Azly Kamaruddin berkata dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, suspek terbabit yang dipercayai seorang lelaki memasuki bank berkenaan dengan memakai topeng mulut, cermin mata gelap dan bertopi sebelum melakukan rompakan itu.
"Difahamkan, sebaik memasuki premis tersebut, lelaki itu yang dipercayai membawa satu objek berbentuk pistol telah bertindak melompat ke belakang kaunter bank sebelum menakutkan kakitangan bank berkenaan dan melarikan diri dengan wang tersebut," katanya ketika dihubungi Khamis.
Katanya ketika kejadian, terdapat empat pekerja bersama seorang pengurus termasuk dua pengawal keselamatan turut berada dalam bank tersebut, namun tiada pelanggan berada di dalamnya.
"Siasatan awal mendapati, kami mempercayai objek yang dibawa oleh suspek itu bukannya senjata api atau pistol, sebaliknya lelaki terbabit telah menggunakan objek tersebut untuk menakutkan kakitangan bank sebelum mengambil wang tunai dari tiga kaunter bank berkenaan," katanya.
Katanya ini kerana salah seorang pengawal keselamatan cuba mengejar suspek yang melarikan diri ke arah lorong di bangunan berhampiran, namun perompak itu tidak melepaskan tembakan.
"Kalau suspek itu mempunyai pistol sudah pasti dia sudah melepaskan tembakan ke arah pengawal itu ketika dia dikejar," katanya.Katanya polis kini sedang meneliti rakaman kamera Litar Tertutup (CCTV) selain menahan salah seorang pengawal tersebut bagi membantu siasatan. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment