21 September 2010

Kertas siasatan Sosilawati diserah ke AG hari ini

Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menghantar kertas siasatan berhubung kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain kepada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Bakri Zinin berkata satu perbincangan juga akan diadakan bersama peguam negara bagi menilai sebarang perkara yang perlu dilaksanakan berhubung kes tersebut.

"Sekiranya peguam negara perlukan kita untuk menyiasat lagi kes tersebut, berkemungkinan kita akan memohon untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap semua suspek," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Jabatan Siasatan Jenayah di Maktab PDRM di Kuala Lumpur malam semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata laporan Asid Deoksiribonukleik (DNA) keempat-empat mangsa pembunuhan kejam itu akan dikeluarkan selewat-lewatnya minggu depan.

"Kalau boleh kita nak tahu keputusan laporan DNA keempat-empat mangsa itu secepat yang mungkin...bagaimanapun, kita akan tunggu, kalau tidak minggu ini, mungkin minggu depan, dan akan kita sertakan dengan kertas siasatan (jika diminta untuk dikemaskini semula oleh Peguam Negara)," katanya.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya Kamaruddin Shamsuddin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Kuala Lumpur, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam peribadi Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas dikatakan ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Keempat-empat mangsa kemudian disahkan polis dipukul sampai mati sebelum mayat mereka dibakar dan abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong, Tanjung Sepat.

Sementara itu, Bakri mengesahkan kematian pengasas produk kecantikan Aveer, Sarina Jaafar, di rumahnya di Taman Pauh Jaya, Bukit Mertajam, Pulau Pinang tidak ada kena-mengena dengan kes pembunuhan Datuk Sosilawati dan tiga individu lain.

"Mangsa ada masalah kesihatan, keluarga dan perniagaan...kematiannnya tidak ada kena-mengena dengan kes pembunuhan Sosilawati," katanya.

Sarina, 45, ditemui mati dalam keadaan tergantung di bilik tidur di rumahnya 8.30 pagi Sabtu lalu.

Dia juga dilaporkan memberitahu keluarga berasa tertekan dan sedih dengan tragedi yang menimpa Sosilawati, yang juga sahabat baiknya.

- Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive