13 September 2010

Majlis pemasyuran Sultan Kelantan pagi ini cetus satu lagi krisis

KUALA LUMPUR, 13 Sept — Majlis Perajaan Negeri (MPN) dijadual mengadakan majlis pemasyhuran Pemangku Raja Kelantan sebagai Sultan Kelantan hari ini menggunakan undang-undang yang baru — dipercayai akan memarakkan satu lagi krisis perlembagaan negeri itu.

Istana Kelantan berada dalam krisis selepas Sultan Kelantan Tuanku Ismail Petra Sultan Yahya Petra gering sejak awal tahun lalu.

The Malaysian Insider difahamkan istiadat itu akan diadakan mengikut Perkasa 23A Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua), yang diwartakan, 22 Julai lalu.

Sultan Kelantan gering sejak Mei 2009, menyebabkan MPN menamakan Tengku Muhammad Faris Petra, putera berusia 35 tahun, sebagai pemangku raja tahun lalu.

Istiadat pemasyhuran akan berlangsung di Balairong Seri Istana Balai Besar pada pukul 11.30 pagi.

The Malaysian Insider dimaklumkan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Mohd Aiseri Alias akan mengadakan sidang media di Istana Negeri, Kubang Kerian pada pukul 2 petang ini.

“Majlis Perajaan Negeri akan meneliti laporan-laporan perubatan dan juga laporan pemerhatian beberapa imam bahawa Sultan sudah tidak boleh menjalankan tugas sebagai seorang raja,” kata satu sumber Istana Kelantan kepada The Malaysian Insider dengan merujuk kepada undang-undang baru.

Juga difahamkan, dua anggota MPN tidak akan hadir iaitu Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, yang merupakan bapa saudara kepada Raja Perempuan Kelantan dan satu-satunya puteri Sultan Kelantan Tengku Amalin Aishah, seorang penolong pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Perkara 23A yang akan digunakan dalam istiadat ini berbunyi “Kelucutan Takhta Kerajaan kerana kecacatan yang besar dan berat.”

“Jika sekiranya setelah disiasat dengan sepenuhnya dan secukupnya, Majlis Perajaan Negeri berpendapat bahawa Raja ada mempunyai apa-apa kecacatan yang besar dan berat yang menyalahi sifat-sifat Raja, yang tidak dibenarkan oleh Hukum Syarak untuk menjadi Raja, maka seorang pengganti hendaklah dipilih dan dilantik oleh Majlis Perajaan Negeri untuk menjadi Raja mengikut syarat-syarat di bawah Bahagian ini.”

Difahamkan, kemasukan Perkara 23A ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua) ini pula adalah dibuat berdasarkan kepada Perkara 3(2) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan (Bahagian Yang Kedua).

Perkara 3(2) pula meyentuh syarat-syarat iaitu:

- (a) naik Takhta Kerajaan dan pangkat kebesaran adat istiadat Melayu;

- (b) pelantikan dan sifat seseorang bakal atau bakal-bakal Raja kepada Takhta Kerajaan, Raja Perempuan atau Pemangku Raja ataupun ahli-ahli Majlis Pangkuan Raja bagi Negeri;

- (c) pembuangan, menarik balik atau menurunkan daripada Takhta Raja itu atau bakal Raja ataupun bakal-bakal Rajanya;

- (d) pelantikan dan sifat Ketua-Ketua Pemerintah ataupun pangkat kebesaran adat istiadat Melayu yang serupa itu dan ahli-ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu, Majlis Penasihat Raja ataupun badan-badan yang serupa itu; dan

- (e) penubuhan, aturan, pengesahan dan pelucutan pangkat-pangkat, gelaran, kehormatan, kebesaran adat istiadat Melayu dan pekurniaan serta sifat pemegang-pemegangnya dan kawalan bagi istana, balai-balai penghadapan dan istana-istana raja, bolehlah dipinda oleh Yang Maha Mulia dengan Perwawai yang dikeluarkan dengan persertaan dan persetujuan Majlis Penasihat Raja, tetapi tidaklah boleh dipinda dengan mana-mana jalan yang lain.”

Selain itu, maklumat yang diperoleh juga menyebut, selaras dengan perasaan kasih sayang yang mendalam Pemangku Raja Kelantan kepada ayahanda dan bonda, baginda telah memutuskan bahawa taraf dan kedudukan mereka setelah pemasyhuran kekal terpelihara melalui satu lagi peruntukan yang telah turut dimasukkan ke dalam Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Kerajaan Kelantan.

Bagaimanapun peguam-peguam yang mewakili Sultan Kelantan mendakwa undang-undang baru itu kemungkinan membuka Pemangku Raja Kelantan kepada “tuduhan campur tangan ke atas soal kehakiman dan menghina prosiding.”

Firma guaman Rashid Zulkifli berkata Sultan Kelantan akan mencabar “pertabalan pemangku raja sebagai sultan yang baru.”

Menurut peguam itu, Sultan Kelantan telah memfailkan dua petisyen di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pandangan mengenai beberapa perkara berkaitan dengan tindakan Pemangku Raja Kelantan.

Rashid berkata, mahkamah telah diminta untuk menentukan tahap kuasa Pemangku Raja sewaktu baginda Sultan Kelantan tidak berupaya untuk menjalankan tugasnya.

Pada Khamis lalu, Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul

Aziz Nik Mat berkata, beliau belum menerima surat rasmi dari Istana mengenai pemasyhuran Tengku Muhammad Faris Petra sebagai Sultan Kelantan.

“Saya kalau boleh tidak mahu komen sebarang perkara berkaitan Istana (Kelantan),” katanya.

Sebuah akhbar memetik sumber melaporkan Pemangku Raja Kelantan dipercayai akan dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan hari ini bagi menggantikan Tuanku Ismail Petra.

Mengenai kenyataan peguam Rashid kepada portal berita Malaysiakini, kenyataan yang diperoleh juga berkata, “jawapan ringkas kami kepada beliau tolong baca, jika sudah membaca sila baca lagi keputusan Hakim Mohamad Ariff Md Yusof pada 29 Januari 2010 berhubung perkara ini.”

Di bawah keputusan itu, Mahkamah Tinggi membuat keputusan bahawa tindakan Tengku Muhammad Faris Petra menyingkirkan adindanya Tengku Muhammad Fakhry Petra daripada MPN tidak boleh disemak semula.

Mohamad Ariff berkata sebuah mahkamah undang-undang bukanlah forum yang sesuai bagi membuat keputusan mengenai isu membabitkan hak istimewa diraja kerana sebarang pertikaian perlu diselesaikan sendiri oleh Sultan Kelantan.

Tengku Muhammad Fakhry, yang juga Tengku Temenggong Kelantan, telah mencabar keputusan Tengku Muhammad Faris menyingkirkannya daripada Majlis Perajaan Kelantan pada 16 September lalu.

Mengenai pendirian Nik Aziz itu, kenyataan yang diperoleh The Malaysian Insider berkata, Menteri Besar itu sebenarnya bercakap benar apabila menyatakan bahawa beliau belum menerima surat jemputan rasmi untuk menghadiri upacara ini sewaktu beliau berkata demikian Khamis lalu.

“Ketidakselesaan kami ke atas tindakan sebuah akhbar tempatan mendedahkan, di samping ketidaksediaan kami mengumumkan, perkara ini lebih awal adalah disebabkan kesedaran kami mengenai wujudnya cubaan untuk menggagalkan upacara ini,” kata kenyataan itu lagi.

Sultan Ismail Petra berangkat pulang pada 4 Mac lalu setelah berada di Singapura sejak Mei tahun lepas untuk menjalani rawatan perubatan di Hospital Mt Elizabeth.

Baginda dimasukkan ke hospital itu pada 24 Mei 2009 untuk mendapatkan rawatan susulan sakit jantung. - TMI

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive