30 September 2010

Minum Arak : Penganggur disebat 6 rotan denda RM5 ribu

KUANTAN, 30 Sept – Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menjatuhkan hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 ke atas seorang buruh atas tuduhan meminum arak di khalayak ramai di sini pada Februari lalu.

Hakim Syarie Datuk Abdul Rahman Yunus menjatuhkan hukuman itu selepas Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, mengekalkan pengakuan bersalah walaupun mahkamah telah memberikan masa untuk dia melantik peguam.

Abdul Rahman juga memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara selama satu tahun sekiranya dia gagal membayar denda itu.

Mengikut fakta kes, Mohamed Rezzal didakwa minum arak berjenama Tiger dalam tin minuman dengan isipadu 350 mililiter (ml) di tempat letak kereta di bumbung pusat beli-belah Kuantan Parade di sini pukul 5.30 petang, 13 Februari lalu ketika sepasukan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Pahang mengadakan operasi penguatkuasaan.

Tertuduh yang memilih untuk tidak diwakili peguam syarie dituduh mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4 enakmen sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya beserta sebatan maksimum enam kali.

Dalam rayuannya tertuduh memohon supaya mahkamah mengenakan hukuman denda minimum dan tidak dipenjara dengan alasan ia boleh menggelapkan masa depannya.

Bagaimanapun, dalam penghakimannya, Abdul Rahman berkata mahkamah perlu menjatuhkan hukuman selaras dengan undang-undang untuk menginsafkan tertuduh dan orang lain supaya menjauhi perbuatan meminum arak yang jelas bertentangan dengan syarak.

Abdul Rahman berkata tertuduh pada sepanjang perbicaraan juga mengekalkan pengakuan bersalah sejak kes disebut kali pertama pada 24 Mei lalu.

“Walaupun diberi peluang untuk melantik peguam, tertuduh tetap enggan berbuat demikian serta mengekalkan pengakuan bersalah dan selepas mengambil kira pengakuan dan laporan air kencing yang mengandungi 254 miligram alkohol bagi setiap 100 ml air kencing seperti dikemukakan pihak pendakwaan, mahkamah mensabitkan tertuduh bersalah,” katanya. – Bernama

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Blog Archive